Lebih manis julang trofi di Stadium Sultan Ibrahim

  

Penyerang JDT, Safawi Rasid cuba dihalang pemain PJ City pada aksi Liga Super, malam tadi.

KUALA LUMPUR: Persoalan ketika ini bukan mengenai sama ada Johor Darul Ta'zim (JDT) boleh merangkul kejuaraan Liga Super buat kali ketujuh ataupun tidak, tetapi bila dan di mana skuad Harimau Selatan itu akan bergelar juara?

Meskipun pemburuan gelaran ketujuh mereka tertangguh selepas terikat 2-2 dengan PJ City malam tadi, keputusan itu sebaliknya menghadiahkan prospek lebih 'menggiurkan' untuk skuad bimbingan Benjamin Mora itu melakar sejarah dalam mengukuhkan reputasi mereka sebagai gergasi bola sepak tempatan.

Ini kerana sekiranya mereka berjaya menundukkan Sabah pada aksi 2 Oktober ini, mereka boleh mengesahkan status juara di tempat lebih baik iaitu di stadium penuh ikonik, Stadium Sultan Ibrahim.

Ketika ditanya mengenai situasi terbabit, Mora mengakui ia satu peluang baik buat Harimau Selatan walaupun dia dilihat tidak kisah untuk merangkul kejuaraan di mana-mana stadium.

"Mungkin itu lebih baik (menang Liga Super di laman sendiri). Sebagai jurulatih, saya mahu menang di semua tempat tidak kira di laman sendiri ataupun di tempat lawan. Ini mentaliti saya sebagai jurulatih tetapi anda tidak boleh sentiasa menang seperti yang anda mahukan.

"Apapun, beraksi di Stadium Sultan Ibrahim dan memenangi kejuaraan di situ, pasti ia akan lebih manis kepada Tunku Ismail Sultan Ibrahim, pemain dan penyokong menyaksikan JDT merangkul trofi di stadium terbabit," katanya.

Mengulas lanjut persembahan anak buahnya, Mora menjelaskan dia sudah menjangka anak buahnya akan menerima tentangan sengit daripada PJ City seperti yang pernah diberikan beberapa pasukan dihadapi mereka sebelum ini.

"Banyak pasukan yang memberi cabaran kepada kita pada musim ini seperti UiTM FC pada awal musim lalu, FELDA United dan Terengganu FC (TFC). Kita menguasai perlawanan dan mengawal bola tetapi dihukum dengan serangan balas dan corak permainan pantas PJ City.

"Kami tidak bernasib baik kerana dibolosi dua gol namun kami beraksi lebih baik pada babak kedua. Kami cuba melakukan sesuatu untuk mendapatkan gol ketiga tetapi tidak berjaya. Beraksi atas permukaan padang basah memang menyukarkan tetapi ia bukanlah alasan kerana lawan berdepan masalah sama.

"Satu mata di tempat lawan tetap baik untuk kami. Saya menilai pemain dengan sikap, usaha dan mentaliti mereka, jadi ini persembahan yang baik daripada pemain," katanya.


Ulasan