FILOSOFI KONTINUITI PERUBAHAN KELAB BOLASEPAK JOHOR DARUL TA’ZIM

 FILOSOFI KONTINUITI PERUBAHAN KELAB BOLASEPAK JOHOR DARUL TA’ZIM

“Saya diamanahkan untuk menjaga sebaik mungkin JDT. Semua orang bercakap mahu perubahan tetapi tidak semua orang boleh menerima perubahan. Bercakap memang mudah tetapi apabila kita mahu laksanakannya bukan sesuatu yang mudah!”- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

Perubahan. Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) akan sentiasa menerima keterbukaan dalam kesinambungan perubahan. Sebagai sebuah kelab yang berjaya di dalam dan di luar padang, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor sentiasa memastikan proses perubahan JDT sentiasa konsisten.

KONTEKSTUAL PERUBAHAN KE ARAH KEMAJUAN

Perubahan umpama satu eksperimentasi. Sifat berani untuk berubah memang kuat dalam jiwa DYAM Tunku Mahkota Johor. Baginda sentiasa memberikan motivasi kepada seluruh Keluarga JDT supaya berani menerima perubahan kerana perubahan akan menghasilkan kematangan. Kematangan pula akan membuat manusia sentiasa bersyukur atas apa yang dikecapi.

Bagi mencapai perubahan yang progresif, DYAM Tunku Mahkota Johor juga tidak jemu untuk belajar kerana baginda sedar bahawa kehidupan tidak pernah berhenti memberi pelajaran. Maka setiap masa yang terluang, akan diisi dengan menimba ilmu bersama pengurusan kelab-kelab yang berjaya di serata dunia. Ia sebagai bekalan yang bakal dibawa pulang untuk diadaptasi bersama JDT.

Thomas Tress, Ketua Pegawai Kewangan Borussia Dortmund (BVB), pernah membuat kenyataan terbuka sekitar tahun 2015 bahawa Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) mampu melangkah lebih jauh dengan sokongan DYAM Tunku Mahkota Johor. Beliau menyifatkan baginda mempunyai aspirasi yang cukup tinggi bagi memajukan kelab gemilang ini.

“JDT akan bergerak lebih jauh dengan sokongan TMJ”- Ketua Pegawai Kewangan Borussia Dortmund (BVB), Thomas Tress.

KONSTRUKTIF PERUBAHAN IDEOLOGI KEBERGANTUNGAN HAYAT KELAB

Penswastaan menjadikan JDT sebagai sebuah kelab bolasepak yang giat beroperasi dan sentiasa berusaha menggandakan usaha bagi membolehkannya berdikari malah meneroka pelbagai peluang komersial.

DYAM Tunku Mahkota Johor berkali-kali menegaskan bahawa setiap pasukan yang bertanding di liga domestik tanah air harus segera sedar betapa pentingnya penswastaan dan bergerak secara berasingan. Ketika ini kebanyakan pasukan masih bergantung harap kepada dana kerajaan negeri. Perkara ini jelas mempunyai banyak implikasi dan keburukan kritikal. Ini dibuktikan apabila beberapa pasukan kini bergelumang dengan isu tunggakan gaji dan kegoyahan sumber kewangan organisasi susulan tumpuan kerajaan negeri ketika ini lebih terarah kepada masalah rakyat yang terkesan ekoran pandemik Covid-19.

“Setelah melakukan banyak kajian dan bercakap dengan banyak orang, saya menyedari bahawa satu-satunya cara bola sepak Malaysia dapat berubah adalah tidak terlalu bergantung kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan harus berhenti menggunakan wang kerajaan untuk bola sepak”- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

IMPLEMENTASI PERUBAHAN MEMBUATKAN ORGANISASI JDT LEBIH BERPRINSIP

Masalah-masalah yang dihadapi kebanyakan pasukan dan kelab di Malaysia adalah ketirisan pengurusan dana, kekurangan profesionalisma, isu-isu integriti, keikhlasan dalam melakukan gerak kerja, rasuah dan kronisme. DYAM Tunku Mahkota Johor telah membuktikan keberkesanan penstrukturan semula organisasi telah meningkatkan potensi pasukan dalam liga Malaysia.

Kontigensi rombakan total DYAM Tunku Mahkota Johor menjadikan organisasi JDT telah dihuni dengan individu yang setia berpegang pada prinsip. Prinsip adalah suatu pernyataan fundamental atau kebenaran untuk dijadikan pegangan hidup.

Dengan adanya prinsip, JDT sentiasa dikelilingi oleh individu-individu yang efisien dan berkarisma dalam menjalankan tanggungjawab. Dengan prinsip juga membuatkan JDT lebih bersedia mencetak lebih banyak kejayaan dan sejarah-sejarah baru.

“Kita akan sentiasa tewas sekiranya pengurusan dan cara pemikiran masih di takuk yang lama. Kita tidak akan dapat memperbaiki keadaan sekiranya kita masih menggunakan ideologi dan polisi yang sama”- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

TRANSISI PERUBAHAN TANDA ARAS SECARA REALISTIK

Setiap tahun, penanda aras yang diletakkan oleh DYAM Tunku Mahkota Johor akan sedaya upaya dicapai mengikut perancangan yang telah diaturkan. Fokus tanpa lalai, filosofi JDT dalam menerapkan kemahuan untuk memenangi setiap perlawanan, kesedaran taktikal dan revolusi corak permainan kepada bola sepak moden sentiasa mengalami perubahan, revolusi serta mengikut peredaran masa.

DYAM Tunku Mahkota Johor juga sentiasa percaya bahawa setiap impian pasti ada jalan untuk menjadi kenyataan. Maka dengan itu, baginda telah menanamkan sifat keyakinan dan kepercayaan diri dalam organisasi ini.

Dengan jati diri yang terbina, setiap kegagalan yang terjadi tidak dijadikan sebab untuk mengalah, malah dengan kegagalan memberi kesedaran dimana terletaknya kelemahan lantas segera diperbaiki supaya tidak berulang.

“Istilah memenangi gelaran pada saya ialah perlu kekal berkembang dan bergerak ke hadapan serta menjadi inovatif dalam bolasepak. Bolasepak adalah mengenai inovasi, menerima perkara-perkara baru, belajar dan melaksanakannya”-DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

Akhir kata, anda boleh bencikan baginda dan JDT, anda boleh sentiasa cemburukan baginda dan JDT, tetapi anda tidak mampu mempertikaikan keunggulan revolusi dan perubahan yang diadaptasi oleh baginda terhadap JDT.

Kenyataan rasional dan tidak boleh disangkal. Selamanya Harimau Selatan! Luaskan Kuasamu Johor.

“Tujuh, akan datang”- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

Sumber artikel: Media JST

Hidup Johor Demi Johor
#HarimauSelatan
#SouthernTigers
#PermataSelatan
#JewelOfTheSouth
#JDTuntukSemua
#JDTforAll



Ulasan