JDT lapan tahun, 600 gol


KEMENANGAN 3-2 Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perlawanan pertama selepas rehat empat bulan kerana pandemik Covid-19 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Jumaat lalu bukan saja mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu Liga Super namun turut mencipta sejarah apabila berjaya mencetak gol ke 600 sejak awal 2013.
Menerusi perkongsian Facebook Johor Southern Tigers memaklumkan bahawa penyerang import JDT, Leandro Velazquez berjaya mencipta nama sebagai penjaring gol ke 600 pasukan dalam semua pertandingan yang disertai skuad Harimau Selatan.
Malah, JDT juga turut menjaringkan gol ke 601 dan 602 dalam perlawanan yang berkesudahan pasukan pelawat mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas Pahang.
Mengikut rekod juara Piala Malaysia musim lalu itu sudah menjaringkan 317 gol dalam Liga Super, 50 berjaya dicetak menerusi Piala FA manakala 140 gol pula menerusi Piala Malaysia.
Di peringkat antarabangsa pula, 83 gol ketika JDT membuat penampilan di kejohanan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) manakala 12 gol pula ketika beraksi di Liga Juara-Juara AFC.

Ulasan