Mahu 'usik' Safawi


TIADA niat untuk riak ataupun bersaing dengan tonggak Harimau Malaya, Safawi Rasid mempamerkan kenderaaan mewah di laman sosial.
Itu reaksi pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh terhadap gambarnya bersama kereta Mercedes Benz di Instagram yang tersebar hingga mendapat reaksi pelbagai pihak.
Tonggak skuad Tok Gajah itu berkata, kereta yang berharga lebih RM200,000 itu dibeli dua tahun lalu dan sering digunakan untuk ke lokasi latihan atau menyelesaikan urusan seharian.
Sumareh berkata, dia meletakkan gambar berkenaan di Instagram bukan mahu meraih perhatian orang ramai namun semata-mata bergurau dan 'menyakat' Safawi yang berbuat demikian tiga hari lalu.
"Jika baca kepada komen lebih kepada untuk bergurau saja bersama rakan sepasukan lain dan boleh lihat mereka juga terhibur dengan tindakan saya itu.
"Saya tiada niat untuk perli Safawi kerana kami berkawan baik dan sentiasa bergurau dengan hantaran gambar atau mesej sebagai hiburan ketika musim Covid-19," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.
Sebelum ini, Safawi menarik perhatian netizen apabila bergambar bersama kereta baharunya, Porsche Cayman 987 berharga lebih setengah juta ringgit.
Sumareh pula berkongsi gambarnya yang bergaya di hadapan jentera dipercayai kereta baharunya di laman Instagramnya, semalam.
Gambar terbabit turut disertakan dengan kapsyen 'jika anda tidak pergi, anda tidak akan tahu' berserta tanda pagar #dudukdirumah dan #kekalselamat.
Berdasarkan reka bentuk kereta Sumareh berwarna kelabu metalik itu, dipercayai kereta terbabit adalah Mercedes A-Class hatchback dengan harga permulaan sekitar RM227,888.
Selain pemain tempatan, beberapa bekas rakan sepasukannya tidak ketinggalan meninggalkan komen antaranya Matt Davies yang meminta Sumareh supaya tidak 'meniru' Safawi.

Ulasan