KUANTAN: Pemain pertahanan pasukan Pahang, Fazly Mazlan mengakui aksi saingan Liga Super berjaya membantu meningkatkan prestasi dan keyakinan dirinya sebaik kembali beraksi musim ini, sebelum ditangguhkan akibat pandemik COVID-19 pada pertengahan Mac lalu.
Tidak hairanlah, pemain yang dipinjam daripada pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) II itu berterima kasih atas sokongan yang diberikan semua pihak terbabit dalam usaha membantu memperkasakan jentera skuad Tok Gajah musim ini.
"Saya akui saingan Liga Super memang berada pada kelasnya tersendiri berbanding Liga Perdana. Sebaik diberi peluang menyarung jersi Pahang musim ini, saya gembira kerana bukan sahaja dapat bermain dengan sebuah pasukan yang bagus tetapi kembali beraksi dalam saingan Liga Super," katanya.
Musim lalu, Fazly beraksi bersama JDT II sebelum pengurusan kelab berkenaan membuat keputusan menawarkannya secara pinjaman kepada Pahang musim 2020. Selain beliau, rakan sepasukan dari JDT II iaitu S Kumaahran juga dipinjamkan untuk bersama skuad kendalian Dollah Salleh itu.
Mengulas sesi latihan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Fazly mengakui tetap menjalani latihan seperti yang diarahkan.
Selepas empat perlawanan Liga Super, Fazly diberi tanggungjawab mengukuhkan jentera pertahanan di sebelah kiri ketika Pahang bertemu PJ City, Sabah dan Melaka United. Beliau diberi peranan di posisi berkenaan berikutan kecederaan Mohd Faisal Rosli.
Ulasan
Catat Ulasan