Malcom dalam video di twitter mengucapkan terima kasih atas anugerah Pemain Terbaik Bulanan yang diterimanya melalui dron. - Foto Twitter
LONDON: Kelab Russia, Zenit St Petersburg tampil dengan idea luar biasa bagi mengekalkan penjarakan sosial apabila menyampaikan anugerah Pemain Terbaik Bulanan menggunakan dron.
Bekas pemain Barcelona, Malcom dipilih sebagai pemain terbaik bagi bulan Mac menerusi undian daripada peminat tetapi dengan Russia menjalani perintah berkurung sehingga hujung bulan ini susulan pandemik COVID-19, kelab terpaksa mencari cara lain bagi menyampaikan anugerah berkenaan.
Saingan Liga Russia ditangguhkan sehingga 31 Mei depan tetapi Zenit mencuri perhatian peminatnya menerusi tindakan bijak itu yang dirakam dan dimuat naik di Twitter.
"Saya baru saja menerima mesej yang saya perlu membuka tingkap," kata Malcom dalam video yang dirakamnya ketika dron memasuki tingkap pangsapurinya.
Dron itu kemudian mendarat di lantai bagi membolehkan Malcom mengambil anugerah yang dimenanginya. - Agensi.
Ulasan
Catat Ulasan