Setiausaha Kedah FA Persoal FAM, MFL & Campur Tangan TMJ

Asmirul Anuar Aris Setiausaha Kedah FA
Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Asmirul Anuar Aris mempersoalkan beberapa perkara selepas pendedahan mengenai masalah gaji tertunggak yang dihadapi Kedah, Kelantan, Melaka United dan Pulau Pinang.
Selain tiada bantuan daripada pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), tindakan Johor Darul Ta’zim (JDT) melalui pemiliknya, Tengku Mahkota Johor (TMJ) untuk masuk campur juga dilihat tidak wajar.
FAM dan MFL dilihat tidak proaktif membantu untuk menghulurkan bantuan kepada badan gabungan dan rakan kongsi yang sedang dilanda musibah COVID-19, malah tiada juga sebarang kata putus mengenai tarikh liga akan kembali bersambung.
“Sepatutnya FAM dan MFL menjaga kebajikan negeri-negeri selaku badan gabungan ketika negara sedang di landa pelbagai musibah. Bukan hanya sekadar menjadi perantara kepada sebuah negeri,” ujar Asmirul Anuar Aris di Facebook peribadinya.
“Jika mereka sendiri gagal mencari kos bantuan untuk menjaga kebajikan negeri yang teruk dilanda musibah, apalah sangat keupayaan setiap negeri bersama penaja masing-masing,” jelasnya sambil berkata telah merujuk kepada pengurusan pasukan.
Asmirul Anuar Aris mengakui Helang Merah ketika ini sedang menghadapi masalah tunggakan gaji akibat COVID-19 dengan pihak penaja juga sedang menghadapi masalah perniagaan yang terjejas disebabkan kekangan ekonomi ketika ini.
Namun, beliau difahamkan yang pihak penaja akan menjelaskan penajaan mereka sebaik sahaja tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilanjutkan oleh pihak kerajaan sehingga ke fasa ketiga ketika ini telah berakhir nanti.
Kerajaan Negeri pula terdapat kekangan lain apabila agenda membantu rakyat didahulukan ketika ini dek kerana PKP yang menghalang aktiviti harian mereka.
“Misi menaik taraf keperluan kesihatan serta menyelamatkan nyawa rakyat menjadi keperluan yang amat penting,” tegas Asmirul Anuar Aris mengenai mengapa tiada bantuan daripada dana kerajaan Negeri pada saat musibah ini melanda.
“Ramai yang bertanya kenapa tiada perbincangan dengan pemain untuk langkah penyelesaian? Untuk makluman, pihak MFL dan FAM masih lagi belum menyediakan kata putus bilakah tarikh akan bermula kembali liga setelah bermesyuarat berkali-kali.
“Jadi bagaimana pihak pengurusan di setiap negeri atau badan gabungan di seluruh Malaysia boleh menstruktur kewangan pasukan masing-masing serta mengadakan perbincangan dengan pemain?” soalnya mengenai isu liga tertangguh tersebut.
“Saya juga mempersoalkan kewajaran JDT untuk campur tangan dalam pengurusan badan gabungan seolah melangkaui FAM? Untuk apa tujuan menggembar gembur di dalam media ketika negara gawat dengan wabak COVID19?” tambahnya lagi.

KREDIT FEATURED IMAGE: FACEBOOK ASMIRUL ANUAR ARIS

Ulasan