KETIKA segelintir pemain termasuk barisan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) enggan membuka pintu rundingan pemotongan gaji ekoran penularan wabak Covid-19, pemain dan pegawai UKM FC sebaliknya sanggup menurunkan ego dengan membenarkan pemotongan gaji dilakukan.
Menerusi perbincangan bersama pemain, pihak pengurusan akan memotong dari antara 15-20 peratus bermula April ini sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.
Ia sekali gus menyaksikan pasukan berstatus universiti itu mengikut jejak Johor Darul Ta'zim (JDT) yang turut melakukan pemotongan gaji sebanyak 33 peratus ke atas pemain dan pegawai.
Setiausaha Kehormat UKM FC, Mohd Fairus Shafie berkata, langkah itu dimaklumkan kepada pemain yang memahami kesukaran dialami pihak pengurusan selepas Liga Malaysia (Liga-M) terpaksa ditangguhkan sejak 16 Mac lalu.
Jelasnya lagi, tempoh PKP ini juga menyukarkan pihak penaja dalam memenuhi komitmen kepada pasukan UKM FC dan situasi itu membuatkan pengurusan tiada pilihan mengambil langkah sebegitu bagi memastikan kelangsungan pasukan.
“Gaji pemain untuk bulan Mac sudah dilangsaikan dan bagi bulan April, kami beritahu langkah pemotongan terpaksa diambil, rata-rata pemain menerima keadaan ini memandangkan liga masih ditangguhkan.
“Hanya maksimum 20 peratus pemotongan gaji kami akan kenakan dan 15 peratus pula kepada pemain-pemain yang bergaji rendah, langkah ini akan diteruskan sehingga tempoh PKP berakhir dan tertakluk kepada perbincangan kedua-dua pihak.
“Saya faham pemain ada kontrak namun dalam tempoh luar jangka ini, sememangnya jadi satu tempoh mencabar kerana babitkan semua pihak di luar sana dan saya hargai sikap tolak ansur pemain.
“Kami akui penaja tidak dapat membantu pasukan buat masa ini kerana mereka juga terjejas dan ini adalah formula terbaik demi kebaikan semua pihak, ” katanya.
Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selaku badan induk bola sepak negara dan Liga Bolasepak (MFL) sebagai pengendali liga dalam satu kenyataan menasihati serta menggalakkan supaya semua pasukan dan kelab mengadakan perbincangan terbuka dengan pemain bagi membincangkan kesan terhadap situasi semasa ini.
Dalam pada itu, kapten pasukan UKM FC, Asnan Ahmad menyifatkan apa jua yang diputuskan oleh pihak pengurusan adalah demi kebaikan pasukan dalam mengharungi situasi penularan wabak Covid-19 ini.
“Kami memang sudah dimaklumkan mengenai pemotongan gaji dan selepas ini perbincangan lebih mendalam akan dilakukan lagi untuk kami sama-sama dapat mencari jalan penyelesaian terbaik.
“Apa pun, saya memang mengharapkan apa jua keputusan adalah demi kebaikan untuk kedua-dua pihak apatah lagi dalam tempoh yang mencabar ini.
“Dan dalam keadaan yang cukup getir ini, saya memang setuju seandainya perbincangan antara pasukan dan pemain dapat dibuat selalu untuk sama-sama bertolak ansur dalam situasi sukar ini”, kata Asnan
Ulasan
Catat Ulasan