JDT senasib Man City


FOTO fail pasukan JDT meraikan kemenangan selepas menewaskan Kedah pada aksi Piala Sumbangsih 2020 di Stadium Sultan Ibrahim, Gelang Patah. - Foto Mohd Azren Jamaludin




KUALA LUMPUR: Pandemik COVID-19 bukan setakat menyebabkan pasukan bergelut dengan isu kewangan malah ia memberi kesan secara tidak langsung kepada pemain selepas nilai mereka ‘menjunam’.
Pasukan ternama dunia juga tidak dapat ‘lari’ daripada situasi itu selepas Manchester City muncul sebagai pasukan paling teruk terjejas di England susulan wabak itu apabila nilai pasukan itu merosot daripada RM5.9 bilion kepada RM4.9 bilion.


Berdasarkan laman sesawang statistik bola sepak, Transfermarkt, beberapa pemain skuad itu mengalami kejatuhan nilai antaranya Raheem Sterling daripada RM773 juta kepada RM619 juta, Kevin De Bruyne (RM725 juta kepada RM580 juta) dan Bernardo Silva (RM436 juta kepada RM386 juta).
Malah, bukan setakat liga besar dunia namun liga kecil seperti Liga Super turut terkena tempias sama apabila kebanyakan pemain yang beraksi dalam saingan di negara ini dilihat mengalami kejatuhan nilai yang agak signifikan.
Berdasarkan semakan ke atas senarai 16 pemain teratas menerusi nilai semasa di Transfermarkt bagi Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) tampak menjadi ‘mangsa’ terburuk selepas nilai tujuh pemainnya susut daripada senarai terbabit.
Meskipun penyerang JDT, Diogo Santo mengekalkan status sebagai pemain termahal Liga Super, namun nilainya susut daripada RM3.7 juta kepada RM3.07 juta, diikuti Gonzalo Cabrera (RM3.53 juta kepada RM2.82 juta).
Dua lagi pemain skuad Harimau Selatan iaitu Leandro Velazquez dan Mauricio masing masing jatuh RM3.3 juta kepada RM2.6 juta dan RM2.82 kepada RM2.24 juta.
Empat pemain tempatan yang berada dalam senarai terbabit dan mengalami kejatuhan nilai adalah Liridon Krasniqi daripada RM2.12 juta kepada RM1.65 juta, Natxo Insa (RM1.88 juta kepada RM1.5 juta) dan La Vere Corbin Ong (RM1.5 juta kepada RM1.4 juta) serta Brendan Gan yang jatuh kepada RM1.4 juta daripada nilai terdahulu RM1.65 juta.
Dua pemain Terengganu FC (TFC) turut berada dalam senarai kejatuhan bermula dengan Sanjar Shaakhmedov daripada RM3.3 juta kepada RM2.6 juta dan penyerang prolifik mereka, Dominique da Sylva yang sebelum ini bernilai RM1.65 juta namun susut kepada RM1.4 juta.
Beberapa pemain import lain yang mengalami situasi sama adalah Demba Camara dan Ifedayo Olusegun yang kini bernilai RM1.5 juta selain Dickson Nwakaeme, Renan Alves, Kpah Sherman dan Careca yang semuanya jatuh kepada RM1.4 juta daripada nilai terdahulu RM1.65 juta.

Ulasan