Betul cakap TMJ

Betul cakap TMJ

Betul cakap TMJ

Semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diteruskan ke fasa tiga oleh kerajaan yang bermula pada hari ini sehingga 28 April 2020 kerana penularan wabak COVID-19 ini masih lagi berterusan. Disebabkan itu juga semakin kencanglah spekulasi dan persepsi yang bermain di minda masyarakat bola sepak tentang status Liga Malaysia yang masih lagi tidak diputuskan oleh Malaysia Football League (MFL). Walaupun ia masih lagi belum ada kata putus dibuat lagi oleh MFL, namun ia sudah ada bayangan yang dinyatakan sebelum ini melalui kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan, yang MFL telah bersedia dengan format baru bagi melancarkan perjalanan kalendar bola sepak Liga Malaysia 2020.

Namun, kenyataan itu masih lagi tidak meyakinkan segelintir pengurusan persatuan atau kelab yang mengharapkan MFL dapat memberikan satu kenyataan yang boleh memudahkan persatuan atau kelab merancang kembali struktur kewangan yang terjejas akibat pandemik COVID-19 ini. Tetapi ada juga persatuan dan kelab mengambil kesempatan daripada pandemik COVID-19 ini untuk meringankan beban kerja mereka daripada menjaga kebajikan pemain, pelatih dan pegawai tadbir persatuan. Perbalahan di antara majikan pemain dan persatuan yang dipertanggujawabkan oleh pemain untuk menjaga kebajikan mereka terus berpanjangan. Sehingga kini perbincangan untuk mencari jalan penyelesaian di antara persatuan dan pemain tidak dapat dilakukan oleh sesetengah persatuan atas alasan MFL dan FAM tidak memutuskan tarikh baru liga akan dijalankan. 

Ini satu alasan yang tidak boleh diterima pakai daripada pandangan penulis kerana alasan yang diberikan itu seolah-olah menyalahkan pihak pengurusan MFL dan FAM dengan kemelut kewangan yang sedang dihadapi oleh persatuan itu sendiri. Sedangkan untuk mengurus kewangan dan merancang perjalanan sesebuah persatuan itu terletak di atas bahu orang-orang yang telah dipertanggungjawabkan untuk menguruskan persatuan. Sepatutnya pengurusan persatuan perlu lebih kreatif dan perlu mengambil inisiatif sendiri untuk berbincang dan merancang kembali kewangan persatuan tanpa menunggu keputusan yang akan dibuat oleh pengurusan MFL dan FAM supaya masalah yang persatuan hadapi itu dapat diselesaikan dengan segera. 

Persatuan atau kelab perlu bijak dalam menyusun semula strategik pemasaran bagi memastikan perjalanan persatuan dalam menjaga kebajikan pemain kembali setabil. Contoh persatuan boleh membuat semakan semula pakej penajaan yang sedia ada dan menawarkan pakej baharu yang lebih selesa dan tidak membebankan penaja atau berbincang bersama MFL untuk mendapatkan sedikit hak penajaan iklan tv ketika siaran langsung untuk mengembalikan keyakinan kepada penaja-penaja pasukan. 

Ini langkah-langkah awal yang perlu diambil oleh setiap persatuan atau kelab selain perbincangan secara telus dengan pemain. Betulah apa yang dinyatakan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, inilah akibatnya sekiranya sesebuah persatuan itu bergantung kepada individu-individu yang hanya memikirkan kepentingkan politik daripada kebajikan pemain dan kemajuan sukan bola sepak itu sendiri. Pepatah ada juga menyatakan “Kalau tidak pandai menari jangan salahkan lantai tidak rata”.

Ulasan