- Dapatkan pautan
- X
- E-mel
- Apl Lain
Kapten pasukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM FC), Asnan Ahmad menyifatkan apa jua yang diputuskan oleh pihak pengurusan adalah demi kebaikan pasukan dan pemain itu sendiri terutamanya dalam mengharungi situasi penularan wabak COVID-19 ini.
Seperti laporan yang dikeluarkan sebelum ini, UKM FC telah mengambil pendekatan untuk memotong gaji pemain antara 15 ke 20 peratus bermula April ini sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan wabak COVID-19 berakhir.
Sehubungan dengan masalah itu, Asnan turut percaya bahawa perbincangan mendalam akan dilakukan lebih kerap antara pemain dan pasukan bagi mencari solusi terbaik khususnya mengenai gaji dan kebajikan pemain dalam tempoh yang sukar ini.
Apa yang penting, pemain berusia 27 tahun ini mengharapkan semua peminat dapat terus memberi semangat kepada semua pasukan yang bertanding di samping berdoa agar wabak ini beransur pulih kerana sudah rindu untuk kembali beraksi di padang.
“Kami memang sudah dimaklumkan mengenai pemotongan gaji tersebut dan selepas ini perbincangan lebih mendalam akan dilakukan lagi untuk kami sama-sama dapat mencari jalan penyelesaian terbaik.
“Apa pun, saya memang mengharapkan apa jua keputusan adalah demi kebaikan untuk kedua-dua pihak apatah lagi dalam tempoh yang mencabar ini bagi menghadapi wabak COVID-19.
“Dan dalam keadaan yang cukup getir ini, saya memang setuju seandainya perbincangan antara pasukan dan pemain dapat dibuat selalu untuk sama-sama bertolak ansur dalam situasi sukar ini”, ujar Asnan Ahmad lagi.
Sebelum ini kelab Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan pelaksanaan pemotongan gaji 33 peratus ke atas gaji para pemain, jurulatih dan kakitangannya dan mendermakan sebahagian daripada gaji mereka kepada Tabung Bencana Negeri Johor bagi meringankan beban kelab dan masyarakat ketika berdepan situasi mencabar akibat wabak COVID-19.
Kredit foto: UKM FC
- Dapatkan pautan
- X
- E-mel
- Apl Lain
Ulasan
Catat Ulasan