50% OF SOMETHING IS BETTER THAN 100% OF NOTHING
Sejak mendengar ayat ini dilontarkan oleh DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor ketika sesi bersama peminat JDT, ianya terus tersemat dalam diri hingga ianya menjadi sebahagian kata-kata motivasi peribadi.
Bukan mudah untuk menjadi peneraju tetapi jika kita tidak memulakan sesuatu, maka kita tidak akan mampu mengubah masa depan sesuatu perkara atau mengubah diri kita sendiri. Kita hanya mampu mengeluh mengenangkan kekesalan demi kekesalan.
Melihat pada konteks JDT di kejohanan Liga Juara-Juara AFC (ACL), kita pernah ditertawakan ketika memasang cita-cita untuk bertanding di ACL. Selain itu, kita juga dijangka akan dibelasah secukupnya oleh gergasi bola sepak Asia.
Tetapi lihatlah sekarang. Selapas dua musim, nama JDT bukan sahaja dikenali dunia malah kini menjadi bualan di ACL hasil dari pencapaian cemerlang dengan persembahan bertenaga dan akhirnya berjaya menghasilkan dua kemenangan dari lapan perlawanan.
Dua kemenangan itu pula bukanlah kaleng-kaleng kerana kemenangan yang dicatat adalah menentang dua bekas juara ACL iaitu juara musim 2018 Kashima Antlers dari Jepun dan juga juara musim 2012 Suwon Samsung Bluewings dari Republik Korea.
Siapa pernah terfikir bahawa kelab kecil seperti JDT ini mampu memberi cabaran dan memperoleh kemenangan dalam ACL. Semua kejayaan ini adalah bukti bahawa jika kita yakin dengan kebolehan kita, tiada siapa yang mampu menghalang.
Inilah yang dikatakan 50% of something is better than 100% of nothing. Kita perlu lakukan sesuatu dan bukan hanya duduk bersembang serta mengkritik apa yang orang lain lakukan. Bak kata orang ‘jika tidak berjaya sampai ke bintang, sekurang-kurangnya kita sampai ke bulan’.
Begitu juga kepada penyokong JDT. Masing-masing mempunyai cara tersendiri dalam memberikan sokongan. Jika mampu menyokong hingga ke Ethiopia, teruskan, tetapi jika tidak mampu, cukup hadir ke Stadium Sultan Ibrahim dan jika di kejauhan, titipkan doa kejayaan walau di mana pun kita berada.
Luaskan Kuasamu Johor.
Ulasan
Catat Ulasan