Syifa harus guna 'kuasa cinta' tingkat prestasi Pawi

Safawi Rasid dan Syifa Melvin.




KUALA LUMPUR: ‘Tidak salah ada kekasih tetapi kekasih pun perlu faham keperluan pemain bola sepak.’
Itu reaksi bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar ketika mengulas mengenai penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid yang sedang bergelut dengan masalah prestasi kerana dikatakan berdepan tekanan daripada kekasihnya yang juga seorang pelakon, Syifa Melvin yang mendesaknya berkahwin.
Jelas Azlan, kehadiran Syifa seharusnya menjadi pembakar semangat buat Safawi supaya terus meningkat menjadi pemain lebih baik, namun sebaliknya berlaku apabila penyerang kebangsaan itu gagal meneruskan rentak konsisten seperti musim lalu.
“Semua orang mahu lihat Safawi berjaya dan bertambah maju. Sebenarnya saya gembira kerana dia sudah ada kekasih dan dia ada tempat untuk meluahkan perasaan dan bermanja.
“Cuma, kekasihnya perlu memahami karier Safawi sebagai pemain. Sebagai kekasih, dia (Syifa) secara tidak langsung membantu memajukan lagi kariernya dan menjadikan dia pemain yang lebih baik.
“Ini semua bergantung kepada Safawi sendiri. Kalau dia rasa kekasihnya itu boleh membantu kariernya, mungkin mereka boleh menuju ke peringkat seterusnya tetapi kalau tidak, dia sendiri tahu apa yang patut dilakukannya.
“Tetapi jangan lupa kerana kita ini Muslim jadi setiap gerak dan tingkah laku kita ada batasan. Saya rasa dia cukup matang menyelesaikan masalah peribadinya. Dia pun ada ramai senior dalam pasukan untuk mendapatkan bantuan nasihat,” katanya.
Dalam masa sama, Azlan turut menyifatkan bekas penyerang T-Team itu beruntung kerana memiliki bos seperti Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang begitu mengambil berat prestasinya.
“Safawi sentiasa menjadi perhatian kerana kita tahu kualitinya. Sebab itulah Tunku Ismail sentiasa mengambil berat dan berterus terang mengenai prestasinya kerana mahu dia bangkit.
“Safawi perlu menerima teguran ini dengan baik dan jadikannya sebagai pemangkin semangat untuk maju ke hadapan. Jangan biarkan orang yang mahu melihat kamu jatuh bergembira dengan perkara ini,” katanya.

Ulasan