Suwon terkejut aksi luar biasa JDT

Pemain JDT, Diogo Luis Santo (tengah) diasak pemain Suwon Bluewing FC, Min Sanggi (kiri) ketika perlawanan Liaga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, Gelang Patah, Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin




JOHOR BAHRU: Pengendali Suwon Bluewings, Lee Lim-saeng mengakui terkejut dengan corak permainan kemas Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas tewas 1-2 pada aksi Kumpulan G, Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.
Menurutnya, corak permainan yang ditampilkan anak didik Benjamin Mora berbeza ketika pasukan itu tewas 1-5 ke atas kelab dari Jepun, Vissel Kobe dan pemainnya juga terperangkap dengan helah permainan skuad Harimau Selatan.
"JDT begitu tersusun corak permainan mereka malah kami tidak beraksi dengan baik pada aksi babak pertama dan ketika kami ketinggalan 0-1, pemain saya cuba beri tekanan namun benteng JDT kemas bertahan.
"Kami bangkit dengan gol penyamaan sebaik babak kedua bermula dan memberi tekanan terhadap JDT menerusi gerakan serangan pantas namun JDT kembali menjaringkan gol hasil gerak susun ketika benteng saya leka.
"Apapun saya tidak mahu menyalahkan pemain selepas kami tewas dalam perlawanan itu. Ini pertama kali kami beraksi dalam keadaan cuaca yang panas menjejaskan rentak permainan kami tatkala pemain tampak keletihan," katanya.
Pada aksi itu Gonzalo Cabrera membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-13 tapi tempoh 10 minit babak kedua bermula, Suwon Bluewings bangkit menyamakan jaringan oleh Terry Antonis.
Namun, pemain terbaik Piala Sultan Ahmad Shah, Mauricio Nascimento muncul wira buat JDT selepas menanduk masuk pada minit ke-73 bagi memastikan kemenangan bergaya skuad Harimau Selatan.

Ulasan