Perak, JDT, Selangor dan Melaka United berjaya meraih kemenangan pertama pada musim ini.

Perak ungguli Liga Super pada perlawanan pertama


Perlawanan pembukaan Liga Super menyaksikan beberapa keputusan menarik pada minggu lepas.
Perak mengungguli liga selepas menjaringkan tiga gol ketika menewaskan Terengganu.
Melaka, Selangor dan JDT turut mencatatkan kemenangan.
JDT v Kedah
Tirai Liga Super 2020 dibuka dengan Piala Sumbangsih yang berakhir dengan kemenangan berpihak kepada JDT.
Namun pihak lawannya Kedah mempamerkan aksi cemerlang dan mengkagumkan ramai pihak, meskipun beraksi di Stadium Sultan Ibrahim, cuma dikecewakan dengan penyudah yang tumpul serta sering dipatahkan oleh pertahanan JDT.
Walau bagaimanapun, ia adalah kemenangan manis buat penyokong JDT di rumah baharu mereka, Stadium Sultan Ibrahim.
JDT akan melayan kunjungan UiTM FC pada 7 Mac, manakala Kedah akan bertemu Terengganu di Stadium Darul Aman pada 7 Mac.
Terengganu v Perak
Kedua-dua pasukan dilihat seimbang namun Terengganu dikejutkan dengan ketajaman bahagian serangan Perak apabila Guilherme de Paula menjaringkan dua gol dalam penampilan pertamanya.
Mehmet Durakovic sendiri tidak menjangka dapat keputusan baik apabila dia mengakui sukar untuk meraih kemenangan setiap kali bertandang ke Kuala Terengganu.
Nampaknya Perak tidak terkesan dengan kehilangan Brendan Gan.
Terengganu akan berkunjung ke Kedah pada 7 Mac, Perak akan berkunjung ke Selangor, juga pada 7 Mac.
Pahang v Selangor
Brendan Gan pula mempamerkan aksi memberangsangkan apabila menjaringkan gol kemenangan dan satu bantuan gol buat Selangor, sekaligus menewaskan Pahang 2-1.
Pahang yang mendahului perlawanan tidak bertahan lama apabila gagal menghalang kemaraan serangan Selangor.
Dollah Salleh sendiri terkejut dengan barisan pertahanannya yang bolos pada saat akhir.
Mungkin mereka masih memerlukan Matthew Davies?
Pahang akan berkunjung ke PJ City pada 7 Mac, Selangor pula akan melayan kunjungan Perak pada 7 Mac.
UiTM v Melaka
Seperti yang dijangka, Melaka tidak berdepan masalah apabila menewaskan UiTM 2-0 di Shah Alam.
Ia satu permulaan yang positif selepas menghadapi pelbagai masalah terutamanya isu tunggakan gaji pemain dan pengambilan pemain import.
Nampaknya UiTM berdepan misi sukar untuk kekal musim ini, lagi-lagi apabila mereka bakal berkunjung ke JDT pada 7 Mac, manakala Melaka akan bertemu PDRM pada 6 Mac.
Felda v PJ City
Felda berjaya mengikat PJ City 1-1 walaupun berdepan dengan pasukan yang memiliki ramai pemain berpengalaman termasuk K. Gurusamy dan Safee Sali.
Nidzam Jamil dilihat berpuas hati walaupun gagal meraih tiga mata di gelanggang sendiri.
Felda akan berkunjung ke Sabah pada 7 Mac, PJ City pula melayan kunjungan Pahang pada 6 Mac.
PDRM v Sabah
Satu-satunya perlawanan yang tidak mempunyai sebarang gol, dan ini mungkin mengecewakan Sabah yang jelas mempunyai kelebihan dari segi pemain import, sedangkan PDRM hanya mempunyai tiga orang import.
PDRM akan bertandang ke Melaka pada 6 Mac, manakala Sabah akan menjadi tuan rumah kepada Felda United pada 7 Mac.

Ulasan