Pemain JDT setuju potong 33 peratus gaji

Pemain JDT potong gaji bagi bantu ringankan beban kelab.
KUALA LUMPUR: Pemain, jurulatih dan kakitangan skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) bersetuju memotong 33 peratus gaji mereka dalam usaha meringankan beban kelab selain membantu pihak yang terjejas susulan penularan COVID-19.
Perkembangan itu diumumkan menerusi laman rasmi Johor Southern Tigers, hari ini.
Menerusi kenyataan pasukan itu, mereka mengambil inisiatif terbabit atas dasar perikemanusiaan ekoran penularan wabak COVID-19 yang melanda semua lapisan masyarakat di negara ini.
“Pemain, jurulatih dan kakitangan JDT bersetuju untuk pemotongan gaji sebanyak 33 peratus.
“Mereka juga akan mendermakan sebahagian gaji mereka kepada Tabung Bencana Negeri Johor dalam usaha meringankan beban kelab serta masyarakat pada waktu yang mencabar ini,” kata pasukan itu.
Sebagai rekod, skuad Harimau Selatan itu menjadi pasukan pertama di negara ini yang melakukan pemotongan gaji susulan COVID-19.
Bukan sahaja JDT malah beberapa pasukan terkemuka di Eropah turut mengambil pendekatan sama untuk memotong gaji antaranya Juventus yang memotong gaji pemain untuk tempoh empat bulan.

Selain itu, Bayern Munich dan Borussia Dortmund turut memotong 20 peratus gaji pemain mereka susulan pandemik terbabit.

Ulasan