- Dapatkan pautan
- X
- E-mel
- Apl Lain
Share on email
Pemain bukan mesin. Itu mesej jelas daripada pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengenai prestasi terkini skuad Harimau Selatan.
Seri 1-1 menentang Felda United pada Sabtu lalu mengundang pelbagai reaksi daripada penyokong JDT sendiri.
Malah sebelum itu, JDT turut dilihat bergelut untuk mencapai kemenangan seperti ketika menentang UiTM FC dan kemudiannya PDRM FA – dua pendatang baharu Liga Super Malaysia pada musim ini.
Sebagai pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim jelas enggan menyalahkan pemain dan jurulatih susulan keputusan seri 1-1 yang dicatat mereka ketika bertemu FELDA United.
Sebaliknya Tunku Ismail mengambil tanggungjawab sepenuhnya akan prestasi pemain selepas baginda sendiri menetapkan standard yang terlalu tinggi buat Harimau Selatan.
Untuk rekod kelab bola sepak dari selatan tanah air itu telah memenangi 15 trofi dalam tempoh tujuh tahun.
Berdasarkan pencapaian lalu ia menjadikan penyokong meletakkan harapan yang sangat tinggi setiap kali skuad Harimau Selatan turun beraksi di atas padang.
“Penyokong kami menganggap keputusan seri sebagai kekalahan, manakala kekalahan pula diibarat sebagai tragedi. Tapi kita harus menerima hakikat bahawa ada pasang surut dalam kehidupan,” kata Tunku Ismail dalam satu kenyataan yang dikongsi di media sosial JOHOR Southern Tigers.
“Kita juga harus memahami bahawa pemain bukanlah mesin. Kita harus menghargai dan menilai apa yang mereka lakukan, kerana mereka sudah memberikan kita banyak kejayaan.
“Sebagai contoh, kita sudah memenangi tiga trofi tahun lalu dan memenangi Piala Sumbangsih pada permulaan musim ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi kelab, JOHOR Southern Tigers, hari ini.
Antara perkara yang memberi impak kepada prestasi JDT dalam beberapa perlawanan lalu termasuklah kerana keletihan susulan jadual yang padat terpaksa diharungi.
“Kita mempunyai lebih perlawanan berbanding pasukan lain kerana kita juga beraksi dalam Liga Juara-Juara AFC. Saya tetap yakin mereka semua akan bangkit.
“Saya sentiasa di belakang pemain, jurulatih dan kakitangan saya setiap masa. Sama ada kami menang atau kalah, saya sentiasa bersama mereka.
“Saya sentiasa menyokong mereka dan mengambil sepenuhnya tanggungjawab terhadap apa yang berlaku, baik dari segi persembahan atau yang lain-lain di JDT,” katanya lagi.
Ulasan
Catat Ulasan