- Dapatkan pautan
- E-mel
- Apl Lain
Turun berdepan penyandang juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang telah melakar dua kemenangan setakat ini memaksa PDRM FA untuk menukar pelan taktikalnya dan juga senarai pemainnya bagi aksi sukar pada malam ini.
Menurut pengendali PDRM, Ishak Kunju Mohamad, bagi merealisasikan impian untuk meraih mata pada malam ini, sesuatu perlu dilakukannya untuk senarai pemain dan taktikal, walaupun sedar JDT adalah pasukan yang sukar untuk ditundukkan.
JDT telah menewaskan Kedah 1-0 pada aksi pembuka tirai Liga Malaysia 2020 dan menang 2-1 ke atas UiTM FC pada Sabtu lalu dan kini berada di kedudukan kedua CIMB Liga Super 2020 – berkongsi mata bersama Melaka United, selepas dua perlawanan.
“Biarpun sedar skuad JDT sukar untuk disaingi, tapi secara keseluruhannya semua pemain sudah bersedia memperagakan aksi terbaik bertemu skuad itu untuk sekurang-kurangnya melakar keputusan seri, lebih-lebih lagi beraksi di laman sendiri.
“Tetapi jika pemain berjaya melakar kejutan, saya anggap bonus buat kami kerana kami tahu kekuatan JDT,” jelas pengendali berusia 45 tahun itu kepada Berita Harian.
“Justeru bagi memastikan pemain mampu menyaingi lawan, akan ada sedikit rombakan dalam senarai pemain selain perubahan taktikal,” tambahnya lagi mengenai kemungkinan bakal merombak senarai pemain dan juga taktikalnya.
Untuk rekod, The Cops pernah melakar keputusan seri 1-1 berdepan JDT dalam Piala Malaysia 2016 dan juga pernah merekodkan kemenangan 1-0 dalam Liga Super 2015. Baki pertembungan menyaksikan mereka tewas kesemuanya.
PDRM kini berada di dasar saingan Liga Super ketika ini dengan defisit 2 mata selepas meraih satu keputusan seri dalam dua aksi dan pemotongan tiga mata.
Bercakap mengenai penyerang, Antonio German yang akhirnya berjaya menjaringkan gol pertamanya, Ishak Kunju jelas gembira dan berharap akan menyuntik motivasi untuknya dan pemain-pemain bagi memberikan keputusan lebih baik.
“Para pemain melaungkan keyakinan untuk bangkit daripada kekalahan kepada Melaka United tempoh hari yang berpunca daripada kesilapan individu,” tambahnya.
KREDIT FEATURED IMAGE: PDRM FA THE COPS
- Dapatkan pautan
- E-mel
- Apl Lain
Ulasan
Catat Ulasan