Nidzam gembira 'ikat' JDT

PENGENDALI FELDA United, Mohd Nidzam Jamil. Ihsan FELDA United
JOHOR BAHRU: Kegembiraan jelas terpancar di wajah pengendali FELDA United, Mohd Nidzam Jamil selepas muncul pasukan pertama melakar kejutan ke atas Johor Darul Ta'zim (JDT) ketika beraksi di Stadium Sultan Ibrahim apabila mencatat keputusan seri 1-1 dalam aksi Liga Super, malam tadi.
Katanya, bukan sahaja FELDA United malah semua pasukan yang mampu menamatkan aksi 90 minit dengan keputusan seri  menentang JDT sudah pasti gembira memandang pasukan itu memiliki reputasi sebuah pasukan hebat.
"Saya sendiri gembira dengan kesungguhan pemain yang membawa pulang satu mata. Namun kami perlu perbetulkan beberapa kelemahan yang dikesan dalam aksi itu terutama bila pasukan lawan menjaringkan gol kita tidak boleh berubah sikap dengan permainan bertahan.
"Kita kena bertindak dengan corak permainan menyerang. Apabila bermula babak kedua saya mengarahkan pemain untuk beri tekanan di benteng pertahanan JDT yang kerap membuka ruang dan hasilnya gol penyamaan mampu dicipta dan kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.
"Walaupun menyamakan jaringkan tapi kami tidak boleh bersikap sambil lewa kerana kita tahu kualiti permainan JDT yang akan mengasak daripada setiap sudut namun pemain saya berdisiplin pada babak kedua bagi mengelak terperangkap dengan corak permainan JDT," katanya.
Pada perlawanan itu, bukan sahaja Frederick Bulot yang menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-51 mencuri tumpuan tetapi kelibat penjaga gol, Mohd Muhaimin Mohamad turut memainkan peranan penting selepas menyelamatkan sepakan penalti Gonzalo Cabrera pada minit ke-66.
Nidzam memuji kecemerlangan Mohd Muhaimin untuk menidakkan beberapa percubaan berbahaya barisan serangan JDT yang diterajui, Diogo Luis Santo.
"Mohd Muhaimin pernah beraksi bersam PJ City FC musim lalu dan dia membantu pasukan itu menang ke atas JDT. Mungkin aura musim lalu memberi dia semangat untuk beraksi cemerlang buat kali kedua menentang JDT.
"Kami juga menganalisa sepakan penalti pemain JDT dan juga sepakan sudut menerusi gerak susun dan apa yang kami lakukan membuahkan hasil malah Mohd Muhaimin juga begitu yakin dalam perlawanan itu untuk beraksi konsisten," kata Mohd Nidzam.

Ulasan