NEVER FORGET HOW YOU STARTED AND NEVER LET ANYONE TELL YOU IT CANNOT BE DONE
Di dalam jadual sepatutnya perlawanan bertemu Felda United menjadi satu lagi perlawanan yang patut sama-sama kita tonton. Namun rentetan penularan secara agresif Pandemik Covid sembilan belas ianya telah merencatkan perjalanan CIMB Liga Super Malaysia 2020.
Rata-rata antara kita belum puas menikmati atmosfera Stadium Sultan Ibrahim. Rata-rata antara kita belum puas merasakan aura satu-satunya stadium yang dibina diluar konteks pemikiran logikal kebanyakan rakyat Malaysia.
Rasionalnya situasi semasa telah mengundang sedikit rasa kecewa apatah lagi sehingga kini kita tidak tahu berapa lama perjalanan liga ini akan dihentikan. Pastinya kerinduan ini akan membuak-buak dan penantian ini juga akan menjadi satu penantian yang penuh dengan episod elemen penyeksaan.
STADIUM CANGGIH LUAR BIASA
Semua nampak! Stadium Sultan Ibrahim berdiri gah penuh prestij. Macam pinang dibelah dua, stadium yang dibina penuh ketelitian ini amat sesuai dengan reputasi JDT sebagai sebuah kelab yang mempunyai kelas yang tersendiri.
Imbas kembali. Pastinya sesiapa yang hadir ke stadium ini akan mempunyai pengalaman manis tersendiri. Ketika detik pertama kali menjejakkan kaki. Pastinya dua mata anda akan memandang penuh kebanggaan. Perasaan gembira, teruja dan kagum juga bercampur baur digaul sebati dalam diri.
Saya lihat sendiri ada antara penyokong yang menangis melihat stadium yang tersergam hebat ini buat pertama kali. Saya lihat sendiri ada antara penyokong yang menjerit tanpa segan silu mengucap kalimah penuh kesyukuran di hadapan gerbang stadium terbaharu JDT ini.
ILUSTRASI KEJAYAAN YANG BUKAN ILUSI DARIPADA TUNKU MAHKOTA JOHOR
Stadium Sultan Ibrahim dilihat sebagai representasi kepada kejayaan DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dalam membina sebuah legasi. Juga dilihat sebagai lambang realiti jerih perih perjalanan baginda dalam usaha mencapai matlamat kesempurnaan organisasi JDT yang telah terjemahkan dengan cara amat sensasi.
Bertahun-tahun dahulu, baginda menyatakan telah mendapat satu semangat yang luar biasa apabila sentiasa dikelilingi orang-orang yang sering memperlekehkan inovasi yang mahu dirangka. Ada juga segelintir pihak yang cuba memberi gambaran bahawa usaha yang dinyata baginda, hanyalah cakap-cakap kosong tiada isi.
Namun semua itu tidak dihiraukan, lalu baginda ubah segala kata-kata skeptis sebagai motivasi. Lalu dengan motivasi itu, menjadi pelonjak merealisasikan segala mimpi menjadi kenyataan.
“Saya mendapat satu semangat yang luar biasa apabila saya sentiasa dikelilingi orang-orang yang mempertikaikan atau mana-mana pihak yang cuba memberi gambaran bahawa mereka tidak percaya setiap apa yang saya lakukan. Ia menjadi motivasi yang luar biasa, satu semangat yang sungguh luar biasa membuktikan bahawa saya boleh lakukan!”- DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.
SEGALANYA SEMPURNA TERSEDIA DI SINI
Sesiapa yang hadir di stadium kebanggaan bangsa Johor ini sudah pastinya akan tertarik dengan pemandangan di suatu sudut kawasan stadium. Kerana disitu terletak satu logo JDT berdiri tegap yang menjadi imej tumpu ketika penyokong bertandang. Pada pandangan kami, mercu itu adalah sebaik-baik lokasi untuk diabadikan sebagai gambar kenang-kenangan. Dan menjadi antara mercu ikonik menarik yang ada di stadium kebanggaan Harimau Selatan.
Selain itu, tempat duduk, surau, tandas serta persekitaran lanskap didekorasi begitu menarik. Sebaik sahaja kaki dijejakkan, pastinya berjaya memukau sesiapa sahaja yang melihat betapa teratur dan telitinya koordinasi kemudahan yang telah disediakan.
Akhir penulisan, sesungguhnya Stadium Sultan Ibrahim bukan sekadar stadium yang berdiri megah tersergam penuh keunggulan. Tetapi juga lambang supremasi, apresiasi, aspirasi, serta sensitiviti mengenai pemahaman tentang indahnya sebuah impian yang telah menjadi kenyataan.
“Matlamat bukan untuk hidup selama-lamanya, tetapi untuk ‘Mencipta’ sesuatu yang akan hidup selama-lamanya”- DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.
Ulasan
Catat Ulasan