PEMAIN JDT, Nazmi Faiz Mansor meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang UiTM FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim. - Foto Mohd Azren Jamaludin
JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) dipaksa bermandi peluh sebelum melakar kemenangan tipis 2-1 ke atas UiTM FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.
Nazmi Faiz Mansor muncul penyelamat skuad Harimau Selatan selepas bola ledakan deras dari luar kotak penalti memastikan kermenangan buat juara liga enam musim berturut-turut itu.
Pengendali JDT Benjamin Mora merehatkan Safawi Rasid selepas aksi tidak konsisten baru-baru ini.
Skuad Harimau Selatan mendahului permainan pada minit kesembilan apabila Leandro Velazquez mengumpan bola tepat kepada Diogo Luis Santo yang melepaskan rembatan leret menewaskan penjaga gol, Muhamad Nor Haziq Mohd Aris.
Bagaimanapun tuan rumah dikejutkan dengan jaringan penyamaan pelawat pada minit ke-19 menerusi Victor Nirennold yang mengambil kesempatan di atas kekalutan di hadapan pintu gol untuk menewaskan penjaga gol, Farizal Marlias.
Ternyata sepanjang 20 minit terakhir babak pertama, skuad Harimau Selatan tampak sukar menambah jaringan apabila corak permainan kemas anak didik Frank Bernhardt yang begitu berdisplin mematikan gerakan berbahaya gandingan tiga serangkai Luis Santo, Gonzola Cabrera dan Nazmi Faiz Mansor.
Bersambung babak kedua, pelawat mengundang cemas pada mnit ke-50 selepas bola rembatan deras Gustavo Dos Santos di luar kotak penalti terkena palang ketika Farizal sudah tertewas.
Tuan rumah akhirnya menarik nafas lega selepas bola umpanan Velazquez membuka ruang buat Nazmi menewaskan Muhamad Nor Haziq pada minit ke-70.
Ulasan
Catat Ulasan