PENGENDALI Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora teruja dengan kemenangan pasukan itu yang mampu menjinakkan kelab dari Korea, Suwon Bluewings 2-1 pada aksi Kumpulan G, Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, semalam.
Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan melonjak ke tangga kedua selepas mengumpul tiga mata pertama sekali gus bangkit daripada tewas 1-5 kepada kelab dari Jepun, Vissel Kobe pada aksi pertama.
Mora menegaskan kerjasama berpasukan yang dibentuk barisan pemain begitu ampuh apabila saling membantu antara satu sama lain dan mengekang asakan kelab dari Korea itu yang begitu rakus mengasak benteng skuad Harimau Selatan.
“Kita tahu Suwon adalah pasukan yang hebat, jadi pemain tidak kerap memberi asakan sebaliknya menyusun gerakan di kawasan tengah dan apabila ada peluang barulah melancarkan serangan pantas yang memerangkap pasukan lawan.
“JDT tidak dibarisi pemain berstatus bintang dan pemain tahu tanggungjawab yang mereka harus lakukan dalam permainan apabila beraksi secara bertahan dan bertindak untuk menyerang apabila ada peluang.
“Ada dua atau tiga peluang yang boleh kita terjemahkan dengan jaringan tapi kurang berkesan. Namun pemain terus bekerja keras dan hasilnya gol menerusi sepakan penalti dan gerak susun menarik yang menghasilkan gol kemenangan,” katanya
Mengenai kegagalan Safawi Rasid yang kurang menonjol, Mora pantas menepis tanggapan itu sebaliknya beliau berpuas hati dengan pemain itu apabila memainkan peranan untuk pastikan JDT mencipta kemenangan.
Beliau berkata, Safawi kerap memberi tekanan terhadap benteng lawan dengan larian pantas di posisi sayap kanan tetapi hanya nasib tidak menyebelahi pemain itu selepas gagal melakukan penyudah tepat.
“Saya percaya Safawi akan bangkit menjaringkan gol jika dia kerap memiliki peluang ketika aksi menentang kelab dari Korea itu. Dia sudah beri yang terbaik malah dia juga merupakan pemain tempatan yang berkualiti,” kata Mora.
Ulasan
Catat Ulasan