PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora mengakui bakal berdepan tugas rumit apabila melayani kunjungan kelab Liga Korea 1 (K League 1), Suwon Bluewings FC pada aksi Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.
Katanya, kelab dari Korea Selatan itu memiliki reputasi tersendiri selepas memenangi Piala FA musim lalu dan pernah menjulang kejuaraan Liga Korea 1 pada musim 2008 dan kemungkinan ia perlawanan berintensiti tinggi ketika JDT dan Suwon memburu tiga mata pertama selepas masing-masing tewas pada aksi pertama.
“Mereka dibarisi pemain hebat dan kami ada menonton cara mereka beraksi ketika menentang Vissel Kobe dan kelab dari Jepun itu tampak bergelut untuk menang dalam perlawanan itu apabila sekadar menang 1-0.
“Mereka beraksi dengan corak permainan bertahan dan pantas melakukan serangan balas dengan membentuk formasi 5-4-1 apabila bertahan dan kemudian menukar ke formasi 3-4-3 ketika menyerang malah sentiasa bergerak untuk membuka permainan.
“Ia perlawanan sukar buat kami tapi persiapan tetap diteruskan untuk berdepan Suwon dan tiada perubahan ketara dilakukan bagi menghadapi pasukan itu. Apa yang perlu pada setiap pemain adalah keyakinan ketika beraksi dan tidak mudah goyah dengan tekanan lawan,” katanya.
Mora berkata, beberapa pemain kelab Suwon harus diawasi yang mampu menidakkan usaha JDT memburu kemenangan dalam perlawanan itu, malah beliau juga menegaskan dua pemain dari Australia bakal memberi ancaman buat skuad Harimau Selatan.
“Pemain nombor 10 (Sulejman Krpic) memiliki skil permainan yang baik. Malah pemain nombor 26 (Yeom Ki-hun) merupakan perancangan utama pasukan itu apabila kerap menggerakkan serangan selain kelibat dua pemain Australia (Terry Antonis dan Adam Taggart),” katanya.
Sementara itu, kapten JDT, Hariss Harun berkata, pasukannya harus bersedia dengan corak permainan keras dan taktikal pantas yang akan disajikan kelab itu.
“Kemungkinan corak permainan itu dipamerkan pasukan lawan, oleh itu kita kena bersedia dan apa yang perlu dilakukan kerap membantu antara satu sama lain. Ia aksi sukar bagi kami,” katanya.
Dalam pada itu, pengendali Suwon, Lee Lim-saeng berkata, aksi liga yang ditangguhkan oleh Persatuan Bola sepak Korea (KFA) akibat penularan wabak koronavirus baharu (COVID-19) menjejaskan persiapan anak buahnya.
Katanya, selepas aksi menentang Vissel Kobe pada aksi 19 Februari lalu, pasukan itu tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif dan ia sekali gus menjejaskan persiapan untuk berdepan JDT.
Ulasan
Catat Ulasan