"MFL tidak boleh ambil tindakan ke atas penyokong yang masih berdegil hadir ke stadium tapi harap mereka ambil peduli kerana kita tak mahu ada yang dijangkiti Covid-19."

MFL harap penyokong elakkan diri daripada berkumpul, kekang wabak COVID-19


CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berharap penyokong dapat menghormati tindakan MFL mengadakan perlawanan tanpa penonton sebagai salah satu cara mengekang penularan wabak COVID-19.
FAM dan MFL membuat keputusan untuk meneruskan saingan liga tanpa penyokong pada perlawanan minggu keempat dan menangguhkan semua perlawanan Liga Malaysia bermula hari ini.
Katanya, MFL tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap penyokong Boys of Straits yang berkumpul dan bersorak di luar Stadium Sultan Ibrahim ketika perlawanan JDT dan Felda berlangsung pada Sabtu lalu.
Namun, beliau berharap penyokong mengikuti arahan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) yang menggesa rakyat supaya menangguhkan sebarang perhimpunan buat sementara waktu.
“MFL tidak boleh mengambil apa-apa tindakan ke atas penyokong yang masih berdegil hadir ke stadium walaupun perlawanan Liga Malaysia minggu ini diadakan dalam stadium kosong,” katanya kepada Arena Metro.
“MFL hanya berharap arahan ini diambil peduli kerana kita tak mahu ada di antara mereka nanti dijangkiti Covid-19 dan jangan membabitkan diri dalam penularan virus ini.
“Berkumpul di luar stadium adalah berbahaya tapi kita tak boleh ambil apa-apa tindakan. Cuma kita berharap pihak berkuasa boleh meleraikan sebarang perhimpunan di luar stadium.”
Ab Ghani berkata pemeriksaan ketat turut dilakukan ke atas individu yang bertugas dalam perlawanan minggu ini.
“MFL membuat perlawanan minggu ini dalam stadium kosong melainkan mereka yang bertugas, itu pun dihadkan jumlahnya.
“Petugas juga diperiksa suhu badan mereka dan diberikan pembasmi kuman sebelum dibenarkan masuk ke stadium.”

Ulasan