Farizal Marlias mahu kurangkan jumlah bolos JDT musim 2020
Farizal Marlias merupakan antara pemain paling penting sepanjang beraksi dengan Johor Darul Ta’zim.
Namun penjaga gol berusia 33 tahun itu masih belum berpuas hati dan mahu mencatatkan rekod bolos yang lebih baik berbanding pada musim 2018.
Dalam Liga Super 2018, JDT menamatkan musim dengan rekod bolos paling rendah dengan hanya dibolosi sebanyak 9 kali.
“Saya harap dapat mengulangi pencapaian pada 2018 di mana kami bolos kurang daripada 10 gol,” katanya kepada Astro Arena.
“Tapi dalam bola sepak, macam-macam boleh berlaku.
“Jadi, saya hanya memberikan yang terbaik di dalam dan di luar padang.”
JDT bolos satu gol setakat ini ketika menewaskan UiTM 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim.
Menjelang perlawanan JDT dan PDRM di Stadium KLFA malam ini, Farizal tetap memberikan tumpuan sepenuhnya untuk mempamerkan aksi yang baik walaupun berdepan dengan pasukan kerdil.
“Kita tahu PDRM sedang mengalami masalah, jadi peluang yang ada perlu digunakan sepenuhnya.
“Jangan terlalu ambil mudah kerana mereka juga inginkan kemenangan, jadi kami perlu berhati-hati.”
Ulasan
Catat Ulasan