PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora.
KUALA LUMPUR: Kedudukan pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora tidak tergugat sekalipun Harimau Selatan tampak bergelut dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards seakan memberi bayangan pasukan itu akan terus mempercayai kredibiliti yang dimiliki Mora bagi misi mereka meneruskan dominasi dalam kancah bola sepak tempatan.
Jelasnya, Mora sudah melakukan tugas yang cemerlang untuk membimbing skuad Harimau Selatan terutamanya selepas dinilai berdasarkan keputusan yang dilakar mereka setakat ini.
“JDT berada di persada Liga Super Malaysia selepas empat perlawanan dengan mencatatkan tiga kemenangan, satu seri dan mengekalkan rekod tanpa kalah termasuk kemenangan ke atas Suwon Samsung Bluewings dalam Liga Juara-Juara AFC,” katanya.
Sebagai rekod, JDT membuka kempen Liga Super dengan menewaskan juara Piala FA, Kedah 1-0 sekali gus merangkul Piala Sultan Ahmad Shah 2020.
Mereka terus meraih tiga mata apabila menewaskan ‘pendatang baharu’ Liga Super, UiTM FC 2-1 namun bergelut ketika menentang satu lagi pasukan baharu, PDRM yang menyaksikan mereka sekadar menang tipis 1-0.
Namun, momentum tiga kemenangan direncatkan FELDA United selepas ‘The Fighters’ berjaya mengikat JDT 1-1 pada aksi keempat, minggu lalu.
Ulasan
Catat Ulasan