JDT kena kuat mental, fizikal

(Dari kanan) Kapten Hariss Harun bersama Benjamin Mora, Lim-saeng dan Taggart bergambar selepas sidang media saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok. - NSTP/Rizar Mohd Noor




JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) harus bersedia dengan corak permainan keras dan taktikal pantas yang akan disajikan kelab Suwon Bluewings pada aksi Kumpulan G, Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.
Kapten JDT itu menegaskan bukan sahaja perlu membuat persiapan fizikal tapi kekuatan mental juga diutamakan bagi memastikan dirinya dan rakan sepasukan sentiasa fokus dan tidak terikut-ikut dengan corak permainan kelab Korea itu.
"Kemungkinan corak permainan yang pantas dan keras bakal dipamerkan pasukan lawan, jadi kami kena bersedia dan apa yang perlu dilakukan kerap membantu antara satu sama lain. Ia akan sukar bagi kami.
"Jika kami mahu keputusan positif, kami kenalah bekerja keras. Tiada jalan pintas dan semangat juang yang tinggi turut memainkan peranan apabila turun beraksi nanti," katanya.
Ditanya mengenai aksi kedua ACL, selepas tewas pada aksi pertama 1-5 kepada kelab Jepun, Vissel Kobe, Hariss menegaskan peluang tetap ada namun harus tidak boleh terlalu yakin sebaliknya mengelak daripada beraksi dalam tekanan dan cuba beri persembahan yang lebih mantap.
Beliau berkata, perlu ada cabaran untuk diri sendiri dan tidak boleh terlalu merendah diri walaupun aksi menentang kelab Korea tampak sukar untuk cipta kemenangan tapi harus ada keinginan melakar kejayaan dan tidak mustahil apa yang diinginkan mampu diraih.
"Tidak kira sama ada pasukan yang kami lawan pasukan hebat atau tidak, kami tetap anggap ia aksi sukar dan berusaha untuk beri persembahan terbaik dan menaikkan nama JDT di pentas rantau Asia," kata Hariss.

Ulasan