Jadual padat jejas rentak Kuala Lumpur



PENGENDALI Kuala Lumpur, Mohd Nidzam Adha Yusoff mengakui barisan pemainnya tampak bergelut untuk beraksi dengan konsisten selepas tidak cukup rehat tatkala mengharungi jadual perlawanan yang ketat dalam saingan Liga Perdana.
Malah katanya, keputusan seri 1-1 dengan Johor Darul Ta’zim II (JDT II), malam tadi, sudah memadai apabila barisaan pemain yang diturunkan menghadapi kesukaran bermain corak permainan yang dirancang dan tampak berhempas pulas untuk membawa pulang satu mata.
“Permainan yang pemain tampilkan agak perlahan dan kurang beri tekanan terhadap pemain JDT II. Malah kami juga kehilangan Azamat Baimatov untuk mengemudi benteng pertahanan selepas pemain itu mengalami kecederaan.


“Saya terpaksa meletakkan Nik Shahrul Azim (Ab Halim) beraksi di posisi berkenaan namun posisi bek kanan pula agak longgar dan menyaksikan pasukan lawan ambil kesempatan melakukan serangan dan tekanan di posisi bek kanan itu.
“Pada babak kedua, saya membuat rombakan dengan memasukkan pemain baharu bagi menguatkan posisi bek kanan dan mula membentuk keyakinan terutama di benteng pertahanan sekali gus menyukarkan pemain JDT II bergerak bebas,” katanya.
Nidzam Adha berkata, perubahan corak permainan dengan menukar ke formasi 4-4-2 beri impak tatkala barisan tengah dan serangan mula membentuk kombinasi yang baik dengan memberi tekanan di benteng dan perubahan itu membolehkan jaringan penyamaan terhasil.
Beliau juga mengakui persembahan pemain import, Kouassi Francis Kone tidak efektif dalam perlawanan itu apabila kurang mengawal bola dan tidak bertindak selaku penyerang yang mampu menjaringkan gol dan menyebabkan perancangan taktikal terjejas.
“Posisi tengah juga tidak berkesan selepas kehilangan Zhafri Yahya yang mengalami kecederaan dan kita masukkan import keempat yang baru tiba dua minggu lalu iaitu Nicolas Alejandro Dul tidak menunjukkan keserasian lagi.
“Aksi seterusnya kami akan menentang Sarawak United dan memang tempoh rehat yang singkat merisaukan saya namun kami akan cuba beri yang terbaik untuk aksi nanti,” kata Nidzam Adha.

Ulasan