Dollah kecewa lagi

Dollah akui memang dua perlawanan tanpa mata agak kritikal tetapi percaya dalam bola sepak kita boleh bangkit untuk melakar kemenangan. - Arkib NSTP
KUANTAN: Perasaan kecewa tidak dapat disembunyikan pengendali Pahang, Dollah Salleh selepas skuadnya tewas 2-3 di tangan PJ City di Stadium UiTM, Shah Alam, malam tadi.
Lebih perit, ia kekalahan kedua berturut-turut skuad Tok Gajah selepas tewas 1-2 kepada Selangor pada perlawanan pertama Liga Super, 29 Februari lalu.
Dua kekalahan itu juga menyaksikan skuad Tok Gajah terpaksa akur tanpa sebarang mata daripada dua perlawanan.
Kegagalan menyerap tekanan lawan di penghujung perlawanan menafikan Pahang untuk sekurang-kurangnya mengutip satu mata di tempat lawan.

Dollah berkata, kekalahan itu menyaksikan skuad Tok Gajah terpaksa menerima hakikat bahawa untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata berkubur.
Pemain PJ City, Muhamad Syazwan Zaipol Bahari (kanan) mengasak pemain Pahang, Adam Michael Tull (kiri) pada perlawanan Liga Super di Stadium UiTM Shah Alam, malam tadi. - Foto BERNAMA

Antara penyokong Tok Gajah yang memakai penutup mulut dan hidung bagi melindungi diri berikutan penularan jangkitan COVID-19 ketika menyaksikan perlawanan Liga Super di antara pasukan PJ City FC menentang pasukan Pahang di Stadium UiTM Shah Alam, malam tadi. - Foto BERNAMA

"Saya akui memang dua perlawanan tanpa mata agak kritikal tetapi percaya dalam bola sepak kita boleh bangkit untuk melakar kemenangan.
"Apa yang perlu dilakukan pemain ialah meningkatkan prestasi mereka terutama membentuk persefahaman di bahagian tengah dan pertahanan.
"Ini kerana dua posisi ini masih gagal beraksi dengan baik dan perlu diperbaiki untuk menghadapi perlawanan ketiga nanti," katanya.
Pada perlawanan itu, dua gol Pahang, masing-masing satu dijaringkan Dickson Nwakaeme dan Ivan Carlos pada minit ke-15 dan 51.
Tiga gol PJ City pula masing-masing satu gol dijaringkan Demba Camara pada minit ke-11, R Barathkumar (m-59) dan R Kogileswaran (m-90).

Ulasan