Contohi JDT potong gaji pemain, pegawai


DI SEBALIK ramai pemain tidak bersetuju gaji mereka dipotong, lain pula dengan gergasi bola sepak dari selatan tanah air Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila barisan skuad itu termasuk pegawai sukan bersetuju sumber pendapatan dipotong sehingga 33 peratus.
Malah, mereka juga sebelum ini turut bersetuju untuk mendermakan sebahagian gaji kepada Tabung Bencana Negeri Johor bagi menangani situasi semasa berkaitan penularan wabak Covid-19.
Hal ini bermakna walaupun kelab berkenaan disenaraikan paling bernilai dalam Liga Malaysia (Liga M) iaitu mencecah RM300 juta, namun mereka tetap melaksanakan pemotongan gaji bagi meneruskan kelangsungan pasukan mengelak timbul sebarang masalah pada masa akan datang.
Menerusi kenyataan di Facebook Johor Southern Tigers, bahawa barisan pemain memahami situasi semasa kelab dan bersedia bertolak ansur dalam menghadapi situasi genting ketika ini.
“Pengorbanan perlu dilakukan demi meringankan beban kelab selepas saingan Liga Malaysia 2020 ditangguh sejak 16 Mac lalu akibat Covid-19 selain membantu mereka yang terjejas dan memerlukan akibat wabak ini,” kata kenyataan itu.
Tindakan pemain pasukan itu jelas sekali mendapat perhatian Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila menjadi kelab atau pasukan pertama berjaya mencapai persetujuan bersama di antara kelab, pemain dan pegawai pasukan untuk berbuat demikian.
Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam berkata, sebelum ini badan induk bola sepak itu bersama Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menasihati serta menggalakkan supaya semua pasukan dan kelab mengadakan perbincangan terbuka bagi membincangkan kesan terhadap situasi semasa ini.
“Dengan ini FAM sekali lagi berharap supaya kelab atau pasukan lain serta pemain mereka turut dapat mengadakan perbincangan terbuka seterusnya mencapai satu keputusan bersama seperti dilakukan oleh JDT ini.
“Apa yang ditunjukkan oleh JDT ini adalah contoh pengurusan terbaik kelab dalam menangani permasalahan yang boleh dianggap sebagai isu global,” katanya.

Ulasan