Bernhardt puji semangat juang pemain UiTM


PENGENDALI UiTM FC, Frank Bernhardt mengakui sedih selepas tewas 1-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) tatkala pemainnya memerah keringat untuk melakar kejutan pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, semalam.
Beliau berkata, pujian harus diberikan kepada setiap pemain The Lion Troops yang memastikan JDT terpaksa begelut sebelum mencipta kemenangan dan aksi yang dipamerkan barisan pemainnya jauh berbeza ketika tewas 0-2 kepada Melaka United, baru-baru ini.
“Pemain UiTM FC memberi persembahan terbaik dan hampir membuat pemain JDT bengang dan beraksi dalam tekanan. Saya simpati dengan pemain saya dan mereka harus diberi pujian kerana turun beraksi dengan semangat juang yang tinggi.


“Kami cipta beberapa peluang yang mengundang cemas benteng JDT di babak pertama dan kemudian pada babak kedua, palang gol menjadi penghalang. Jika tidak kami mampu mendahului mereka dan mengekalkan corak permainan yang lebih konsisten.
“Hanya sedikit kesilapan di benteng pertahanan yang memberi ruang buat pemain JDT melakukan rembatan bola di luar kotak penalti dan selepas jaringan itu kami bagaikan hilang fokus tatkala lawan kembali beri tekanan,” katanya.
Bernhardt menegaskan ketika babak kedua bersambung, beliau mengarahkan pemainnya untuk kembali beraksi seperti dipamerkan pada aksi separuh masa pertama dengan berusaha memberi tekanan terhadap barisan pemain Harimau Selatan.
Katanya, pemain tidak boleh membiarkan pemain JDT menguasai di posisi tengah memandangkan barisan pemain lawan mampu melakukan gerakan bahaya di posisi itu tapi pemain UiTM FC hilang fokus dan membuka ruang untuk lawan bergerak.
“Masalah yang kami hadapi gagal melakukan penyudah berkesan. Itu kelemahan ketara barisan serangan saya. Posisi tengah juga kerap kehilangan bola dan ia tidak baik buat pasukan dan saya harus segera menyelesaikan masalah itu,” kata Bernhardt.

Ulasan