"Apa yang diperlukan pada setiap pemain JDT adalah keyakinan ketika beraksi dan tidak mudah goyah dengan tekanan lawan."

ACL2020: Benjamin Mora harap JDT tidak mudah menyerah kalah kepada Suwon


Selepas tewas besar 5-1 kepada Vissel Kobe dalam perlawanan pembukaan AFC Champions League, jurulatih JDT Benjamin Mora mahu pasukannya bangkit meningkatkan prestasi apabila berdepan Suwon Bluewings di Stadium Sultan Ibrahim hari ini.
Beliau bagaimanapun sedar, Suwon merupakan pasukan pilihan selepas hanya tewas 1-0 menentang Vissel dalam perlawanan pembukaan.
“Mereka dibarisi pemain hebat,” kata Mora kepada Arena Metro.
“Kami ada menonton cara mereka beraksi ketika menentang Vissel Kobe dan kelab dari Jepun itu tampak bergelut untuk menang dalam perlawanan itu apabila sekadar menang 1-0.
“Mereka beraksi dengan corak permainan bertahan dan pantas melakukan serangan balas dengan membentuk formasi 5-4-1 apabila bertahan dan kemudian menukar ke formasi 3-4-3 ketika menyerang malah sentiasa bergerak untuk membuka permainan.
“Ia perlawanan sukar buat kami tapi persiapan tetap diteruskan untuk berdepan Suwon dan tiada perubahan ketara dilakukan bagi menghadapi pasukan itu. Apa yang perlu pada setiap pemain adalah keyakinan ketika beraksi dan tidak mudah goyah dengan tekanan lawan.
Mora mendedahkan beberapa pemain Suwon seperti Sulejman Krpic, Yeom Ki-hun, Terry Antonis dan Adam Taggart menjadi ancaman utama buat JDT.
“Pemain nombor 10 (Sulejman Krpic) memiliki skil permainan yang baik. Malah pemain nombor 26 (Yeom Ki-hun) merupakan perancangan utama pasukan itu apabila kerap menggerakkan serangan selain kelibat dua pemain Australia (Terry Antonis dan Adam Taggart).”
Di sebalik kebimbangan JDT, jurulatih Suwon, Lee Lim-saeng mendedahkan bahawa persiapan pasukannya terjejas selepas Liga Korea Selatan ditangguhkan akibat penularan wabak koronavirus baharu (COVID-19).
Katanya, selain aksi menentang Vissel Kobe pada aksi 19 Februari lalu, Suwon tidak beraksi langsung dalam sebarang perlawanan kompetitif dan ia sekali gus menjejaskan persiapan untuk berdepan JDT.

Ulasan