- Dapatkan pautan
- X
- E-mel
- Apl Lain
Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menyambut baik inisiatif Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) atas langkah proaktif kelab Harimau Selatan itu dalam menunaikan tanggungjawab membantu memerangi wabak COVID-19.
Setiausaha Agung AFC, Dato’ Windsor John berkata langkah JDT seharusnya dicontohi semua pihak dalam menangani krisis global seumpama ini
“Tahniah kepada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, seluruh keluarga kelab JDT, pegawai dan pemain yang turut sama berganding bahu memerangi krisis penularan wabak COVID-19,” katanya.
JDT dalam satu kenyataan di laman sosialnya hari ini menyatakan pemain, jurulatih dan kakitangannya bersetuju untuk pemotongan gaji sebanyak 33% dan mendermakan sebahagian dari gaji mereka kepada Tabung Bencana Negeri Johor.
Ini adalah usaha mereka untuk meringankan beban kelab serta masyarakat pada waktu yang mencabar ini.
Ketua pasukan JDT, Hariss Harun mengharapkan lebih ramai pemain dan pasukan dapat tampil ke depan menghulurkan bantuan dari apa jua bentuk ketika wabak COVID-19 ini.
“Para pemain Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menyumbangkan sebahagian daripada gaji kami kepada Tabung Bencana Negeri Johor dengan harapan ia dapat meringankan beban mereka-mereka yang terjejas disebabkan oleh penularan wabak COVID-19.
“Penularan wabak COVID-19 telah mencabar setiap dari kita dan masyarakat perlu sama-sama berganding bahu menghadapi waktu mencabar ini.
“Saya berharap sumbangan kami dapat membantu banyak pihak dan saya menyeru agar ramai lagi tampil ke hadapan dan melakukan apa jua bentuk sumbangan bagi membantu kita semua mengharungi episod gelap ini.”
JDT turut menzahirkan penghargaan mereka kepada pejuang barisan hadapan yang rela berkorban dan mempertaruhkan nyawa berdepan dengan tugasan untuk memerangi wabak COVID-19.
Mereka turut menyeru semua rakyat Malaysia agar memainkan peranan masing-masing sepanjang tempoh sukar ini.
Sebelum ini beberapa kelab dan pemain ternama di Eropah telah bertindak memberikan sumbangan kepada pihak yang memerlukan di negara mereka.
Antaranya adalah Cristiano Ronaldo dan ejennya Jorge Mendes yang menyumbang peralatan perubatan kepada dua hospital di Portugal. Kapten Real Madrid, Sergio Ramos dan isterinya Pilar Rubio pula mendermakan 264,000 topeng muka dan 15,000 kit ujian pemeriksaan menerusi badan kebajikan UNICEF.
Selain itu, Lionel Messi juga menyumbang €1 juta kepada sebuah hospital di Barcelona dan juga pusat perubatan di negara kelahirannya, Argentina. Pep Guardiola juga tidak ketinggalan dalam mendermakan €1 juta.
Ulasan
Catat Ulasan