TERLALU menghormati lawan menjadi punca Johor Darul Ta'zim (JDT) gagal menyaingi Vissel Kobe selepas tewas 1-5 pada aksi Kumpulan G saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Park Misaki, malam tadi.
Pengurus JDT, Luciano Figueroa menerusi laman rasmi Johor Southern Tigers berkata, selepas gol ketiga yang dihasilkan kelab dari Jepun itu, menyebabkan barisan pemain JDT bagaikan hilang kepercayaan terhadap diri sendiri apabila kerap memberi ruang kepada pasukan itu menguasai perlawanan.
Katanya, apa yang dilakukan dalam latihan terutama untuk mempraktikkan taktik permainan yang ampuh dan mengikut falsafah permainan yang diterapkan seolah-olah tidak berhasil malah beraksi dengan corak permainan perlahan pada 15 minit pertama.
"Saya merasakan pemain bagaikan terpesona dengan kelibat Andres Iniesta dan akibatnya pemain tidak bermain seperti biasa dan lebih kerap memerhati corak permainan bekas bintang FC Barcelona itu dan akibatnya kita dihukum.
"Tidak dinafikan Vissel Kobe adalah kelab berkelas tinggi dan mereka melakukan pelaburan besar di Jepun. Malah pemilik kelab itu, Hiroshi Mikitani juga menaja FC Barcelona dan pastinya mereka mahu yang terbaik tatkala dibarisi beberapa pemain antarabangsa Jepun dan Iniesta sendiri berada di dalam kelas tinggi.
"Bagaimanapun kekalahan itu bukan titik noktah. Sebaliknya ia adalah proses pembelajaran yang baik untuk kami berkembang dan memahami apa yang diperlukan untuk beraksi di pentas tertinggi.
Figueroa juga mengakui teruja untuk bekerja bersama pengendali JDT, Benjamin Mora dan optimis mampu memperbaiki apa jua kelemahan yang dikesan bagi memastikan barisan pemain bangkit dengan lebih mantap untuk setiap aksi pada musim ini.
Selepas aksi ACL, JDT bakal membuat persiapan rapi untuk berdepan Kedah pada aksi pembuka tirai saingan Liga Super dalam pertembungan merebut Piala Sumbangsih pada 28 Februari ini.
Ulasan
Catat Ulasan