Kalau nak, bayar RM8j...


TANDA harga yang perlu dibayar kelab luar negara bagi mendapatkan penyerang kebangsaan, Safawi Rasid dianggarkan tidak kurang daripada $AS2 juta (RM8 juta).
Itu anggaran kasar beberapa ejen berdaftar mengenai nilai bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) di pasaran seandainya ada kelab luar berminat untuk mendapatkan sentuhan Safawi.
Menurut Pengarah Urusan Offside Sports, Abdul Halim Abdul Shukor, beliau meletakkan nilai berkenaan di atas prestasi menakjubkan Safawi terutama ketika beraksi bersama JDT dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan skuad kebangsaan.
Malah, kejayaan pemain kelahiran Dungun, Terengganu menjaringkan beberapa gol menarik di pentas antarabangsa turut membantu menaikkan ‘rating’ Safawi yang kini menjadi buruan beberapa kelab Jepun.
Bagaimanapun katanya, nilai terbabit boleh berubah mengikut kehendak JDT yang memegang kontrak Safawi selaku majikannya.
“Sebenarnya nilai Safawi di atas tangan JDT sepenuhnya. Selaku ejen, saya melihat nilai Safawi dalam lingkungan $AS2 juta yang saya kira sangat mahal bagi seorang pemain yang beraksi di Liga Malaysia,” katanya ketika dihubungi semalam.
Jelasnya, destinasi terbaik buat Safawi untuk terus menempa nama adalah bermula dari Liga Jepun sebelum meninjau prospek lain di Eropah.
“Bagi saya sebaik-baiknya biar mula dari Liga Jepun kerana kebanyakan ‘scouting’ berada di negara itu sebelum di bawa ke Eropah.
“Lagipun, Liga Jepun menjalinkan kerjasama dengan kelab Jerman dan sebab itu kita lihat ramai pemain Jepun beraksi di Bundesliga.
“Selama tempoh di Jepun, Safawi boleh mula menyesuaikan diri dengan cuaca, persekitaran profesional dan tahap persaingan liga yang mirip dengan liga Eropah seperti Jerman, Austria dan Sepanyol,” katanya yang bertanggungjawab membawa Norshahrul Idlan Talaha beraksi bersama kelab Thailand, Bangkok Glass Pathum United, baru-baru ini.
Pandangan sama turut dikongsi seorang lagi ejen tempatan, Syed Qamarul Firdaus yang mengakui nilai yang perlu dibayar kepada skuad Harimau Selatan antara RM6 juta hingga RM8 juta.
Syed yang mengusahakan I One Sports Agency Sdn Bhd menjelaskan, Safawi mempunyai potensi besar untuk beraksi di luar negara seperti mana yang disuarakan bekas legenda Liverpool, Jamie Redknapp.
“Saya setuju dengan pandangan Redknapp dan sekarang terpulang kepada Safawi dan paling utama kelabnya. Isunya adakah kelabnya bersedia untuk melepaskan pemain utama mereka.
“Apapun, sekarang adalah masa paling sesuai untuk dia pergi jauh sebelum umurnya meningkat yang mungkin tiada peluang lagi selepas ini,” kata Syed.

Ulasan