Bekas penjaga gol kebangsaan yang juga penganalisis bola sepak negara, Syed Adney Syed Hussein, menjangkakan saingan Liga Malaysia pada musim 2020 akan lebih kompetitif dan dijangka sukar diramal.
Walaupun juara enam kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT), masih menjadi pilihan namun beliau menamakan tiga pasukan, Kedah, Terengganu dan Selangor mampu memberikan cabaran lebih sengit berbanding beberapa musim yang lalu.
Tambah Syed Adney, penambahan ramai pemain berkualiti dalam ketiga-tiga pasukan itu menjadikan mereka lebih seimbang dalam setiap bahagian selain jurulatih punyai pilihan pemain bagi harungi saingan sepanjang musim ini.
“ Saya melihat Kedah, Terengganu dan Selangor yang dilihat melakukan persiapan yang amat rapi mendapatkan pemain-pemain yang lebih baik bagi hadapi musim 2020.
“ Terengganu telah ke luar negara lakukan persiapan lebih awal sementara Kedah bagi saya bermain dengan baik di pusingan kelayakan Liga Juara-juara AFC baru-baru ini walaupun tewas kepada kelab Korea (FC Seoul).
“ Corak mereka ketika bermain nyata lebih tersusun di bawah Aidil Sharin dan saya fikir kualiti yang Kedah ada jelas begitu baik dengan kehadiran-kehadiran pemain-pemain baharu, begitu juga dengan Selangor yang dihadiri beberapa pemain bintang.
“ Secara keseluruhannya, bagi saya perkembangan yang amat positif daripada ketiga-tiga pasukan ini dan kita mahu aksi liga yang lebih kompetitif membabitkan semua pasukan dalam merebut kejuaraan.
“ Andai kata jika Johor DT menang sekali lagi kejuaraan liga sekali lagi musim ini, saya harap ada cabaran kepada Johor DT dan bukannya pemenang diketahui tiga atau empat perlawanan sebelum liga berakhir, ” katanya.
Kedah antara pasukan yang meraih perhatian ramai sebelum sepak mula Liga Malaysia 2020 apabila berjaya menyambar Kpah Sherman dan Tchetche Kipre di bahagian serangan selain Hadin Azman menguatkan posisi sayap kiri serta pemain Bawah 23 tahun negara, Irfan Zakaria di bahagian pertahanan.
Manakala Terengganu kembali mendapatkan sentuhan Faiz Nasir selain kehadiran ramai pemain baharu seperti Nasir Basharudin, Darren Look, D. Saarvindran dan Stuart Wark serta pemain import dari Singapura yang pernah beraksi dengan PKNS, Faris Ramli.
Dalam pada itu, Syed Adney masih menjadikan JDT sebagai pilihan utama selepas menilai kekuatan pasukan itu selepas persiapan yang lebih jitu pada musim ini termasuk ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengadakan beberapa aksi persahabatan dengan kelab-kelab luar negara.
“ JDT telah beraksi di UAE dan mereka bermain dengan baik termasuk dapat meraih beberapa kemenangan ke atas pasukan-pasukan yang begitu baik.
“ Jadi mereka telah buktikan yang mereka boleh bersaing di satu tahap yang lebih tinggi dan saya fikirkan mereka masih sama seperti sebelum ini, ” katanya.
Saingan Liga Malaysia musim 2020 akan membuka tirai pada 28 Februari ini bagi aksi Piala Sumbangsih antara juara Liga Super, Johor DT dan juara Piala FA, Kedah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Ulasan
Catat Ulasan