Safawi mengakui beliau sudah serasi dengan Matthew Davies sejak mereka berdua mewakili skuad B-23 negara.
JDT: Safawi Rasid dedah pandangannya mengenai Matthew Davies
Perpindahan Matthew Davies ke JDT sangat dialu-alukan oleh para pemain, terutamanya Safawi Rasid.
Pemain berusia 22 tahun itu mengakui beliau sudah serasi dengan pemain pertahanan itu sejak mereka berdua mewakili skuad negara Bawah 23.
Malah, beliau tidak menganggap Matthew akan menggantikan tempat S. Kunanlan, sebaliknya beliau mengalu-alukan persaingan sihat antara dua pemain tersebut.
“Saya rasa ia akan menjadi satu persaingan yang baik antara Kuna dan Matt,” katanya kepada The Star.
“Saya sudah beraksi dengan Kuna pada jangka masa yang lama tapi saya sudah dengan Matt sejak skuad negara B-23 lagi.
“Jadi bagi saya, tak ada masalah untuk beraksi dengan mana-mana pemain. Sebab sasaran kami tetap akan memberikan yang terbaik untuk pasukan.”
Piala Sumbangsih dan Liga Super
Safawi menganggap JDT sudah melakukan persiapan yang rapi untuk mempertahankan Piala Sumbangsih menentang Kedah serta Liga Super pada musim ini.
“Persiapan tahun ini memberangsangkan terutamanya perlawanan pra-musim di Dubai. Itu satu pengalaman berguna dan akan membantu kami bersiap sedia untuk Piala Sumbangsih. Kami mahu pertahankan piala tersebut.
“Semua pasukan sudah melakukan persiapan dengan bagus untuk musim baharu jadi sudah tentu mereka akan memberikan saingan yang kuat. Kita tidak memandang rendah kemampuan pasukan lain kerana itu akan memberi kesan jadi kami perlu sentiasa berwaspada.”
Stadium Sultan Ibrahim
Safawi menganggap stadium baharu JDT menjadi petanda bahawa mereka sedang membina masa depan bolasepak Malaysia, ke arah yang lebih baik.
“Kami dalam proses ke arah bolasepak moden dengan fasiliti yang moden, dan kami sedang menuju ke arah yang betul. Kami perlu berterima kasih kepada TMJ.”
Safawi akan terus menjadi tumpuan tahun ini selepas melalui musim yang gemilang untuk dua tahun berturut-turut.
Pada tahun 2018, Safawi menjaringkan 16 gol dalam 34 perlawanan sekaligus memenangi anugerah pemain berpotensi, pemain tengah terbaik dan MVP.
Safawi mempamerkan prestasi lebih baik pada 2019 apabila menjaringkan 20 gol dalam 34 perlawanan, sekaligus memenangi anugerah penyerang terbaik, pemain paling popular dan MVP buat kali kedua.
Di peringkat skuad kebangsaan pula, Safawi menjaringkan enam gol dalam 10 perlawanan pada tahun lepas.
Ulasan
Catat Ulasan