Piala Sultan Ahmad Shah ada harga, istimewa

Kapten Pasukan JDT, Hariss Harun (kanan) dan Kapten Pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar bersama Piala Sumbangsih pada sidang media sempena perlawanan Piala Sumbangsih 2020 JDT VS Kedah di Stadium Sultan Ibrahim, semalam. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
KUALA LUMPUR: Mungkin tidak keterlaluan jika aksi Piala Sultan Ahmad Shah antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Kedah boleh dilabel ‘El Clasico’ kerana ia membabitkan pertembungan dua pasukan terbaik di negara ini.
Malah, kedua dua pasukan yang berentap di Stadium Sultan Ibrahim malam ini masing masing adalah juara musim lalu di mana skuad Harimau Selatan selaku penyandang juara Piala Sultan Ahmad Shah, Liga Super dan Piala Malaysia sementara skuad Lang Merah merangkul Piala FA.
Bekas pemain Johor, Rizal Sukiman menjelaskan aksi sumbangsih bukanlah satu perlawanan yang boleh dianggap ‘biasa-biasa’ kerana perlawanan itu eksklusif dan hanya pasukan terpilih yang dapat bertanding bagi merebut trofi berkenaan.
“Tak semua pasukan dapat bertanding aksi sumbangsih kerana ia hanya kepada pasukan yang ada gelaran sahaja. Jadi, faktor inilah yang membuatkan perlawanan ini menjadi lebih istimewa.
“Mungkin ada yang terlepas pandang kerana menganggap piala ini tiada harga, tetapi sebaliknya ini adalah cara terbaik bagi merasmikan pembukaan liga untuk musim baharu.
“Pasukan yang menang pasti memiliki motivasi terbaik untuk mengharungi liga musim ini selain sedikit sebanyak ia meningkatkan status mereka sebagai pencabar musim ini,” katanya.
Mengulas lanjut aksi terbabit, Rizal mengakui saingan terbabit masih terbuka kerana kedua-dua pasukan tampak memiliki pasukan yang sempurna serta seimbang daripada semua aspek.
“Sebelum ini, JDT menewaskan Kedah pada final Piala Malaysia tetapi itu adalah cerita lama dan aksi malam esok (malam ini) buku baharu. Kedah juga banyak melakukan perubahan musim ini.
“Pada saya, kedua-dua pasukan ada 30 peratus untuk menang namun 20 peratus lagi bergantung pada penyokong dan 20 peratus lagi adalah padang,” katanya.

Ulasan