Perak rampas status 'Raja Bola Sepak Utara'

KAPTEN Perak, Shahrul Saad (tengah) meraikan jaringan pertama pasukan ketika aksi Unity Shield 2020 di Stadium Perak. Ihsan FB Perak TBG
IPOH: Perak merampas status ‘Raja Bola Sepak Utara’ selepas menewaskan Kedah 3-1 dalam aksi Unity Shield 2020 di Stadium Perak, di sini, sebentar tadi.
Selain merampas trofi kejuaraan, kemenangan itu juga menyaksikan anak buah Mehmet Durakovic berjaya membalas dendam selepas mereka kecundang 0-2 pada aksi sulung kejohanan itu di Stadium Darul Aman, tahun lalu.

Perak yang dilihat kurang aktif dalam mendapatkan pemain baharu musim ini membuka tirai jaringan menerusi Shahrul Saad seawal minit ketiga.

PEMAIN Perak meraikan jaringan ketika menentang Kedah dalam aksi Unity Shield 2020 di Stadium Perak, Ipoh. Perak menang 3-1. Ihsan FB Perak TBG

Dua minit sebelum tamat babak pertama, The Bos Gaurus berjaya mengukuhkan kedudukan hasil jaringan pemain kebangsaan Shahrel Fikri Fauzi.
Kedah bagaimanapun berjaya merapatkan jurang menerusi Kpah Sherman pada minit ke-68, namun Careca mengesahkan kemenangan Perak apabila meledak gol ketiga pada minit ke-78.

Ulasan