"Pemain bagaikan terpesona dengan kelibat Iniesta. Mereka tidak bermain seperti biasa dan lebih banyak memerhatikan beliau, dan sikap memerhati bola ini telah menghukum kami."

ACL2020: Luciano Figueroa akui JDT kalah besar disebabkan Iniesta


Selepas JDT mengalami kekalahan besar 5-1 kepada Vissel Kobe dalam perlawanan pembukaan AFC Champions League, peminat tertanya-tanya apakah yang menyebabkan Harimau Selatan kalah dengan sebegitu rupa.
Pengurus JDT, Luciano Figueroa menjelaskan di laman rasmi media sosial Johor Southern Tigers kekalahan tersebut berpunca daripada hilangnya fokus pemain selepas bolos gol ketiga di separuh masa kedua.
“Kami bermain dengan baik dalam 15 minit pertama, tetapi kami perlahankan sedikit rentak permainan selepas itu. Masalahnya selepas bolos gol ketiga, kami hilang kepercayaan untuk menang. Kita akan lupa segala-galanya mengenai apa yang dilakukan dalam latihan, falsafah kami dan taktik kami.”
Figueroa juga mengakui gaya permainan yang ditunjukkan oleh barisan pemain Vissel Kobe termasuk Andres Iniesta membuatkan JDT terpesona.
“Kita semua sedar bahawa Vissel Kobe adalah sebuah pasukan yang berkualiti tinggi, kelab paling banyak berbelanja di Jepun. Malah pemiliknya juga telah menaja FC Barcelona. Mereka berbelanja banyak dalam falsafah bola sepak dan mereka melakukannya dengan baik. Pemain kebangsaan Jepun, termasuk Iniesta adalah pemain yang berkualiti.
“Saya juga merasakan pemain kami bagaikan terpesona dengan kelibat Iniesta. Mereka tidak bermain cara biasa dan lebih banyak memerhati beliau, dan sikap memerhati bola ini telah menghukum kami.”
Namun Figueroa enggan menyalahkan barisan pemain JDT di atas kekalahan tersebut, sebaliknya menganggap ia sebagai satu pengajaran yang berguna.
“Ianya adalah satu proses pembelajaran yang baik untuk kami berkembang dan memahami apa yang diperlukan untuk bermain di peringkat tinggi ini.
“Saya harap kami akan lebih baik dan untuk mencapainya kami perlu bekerja lebih keras. Saya teruja untuk bekerja bersama Benjamin Mora dan para pemain untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan dan melakukan yang terbaik untuk setiap perlawanan musim ini.”

Ulasan