KUALA LUMPUR: Juara Liga Super enam kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) memiliki peluang cerah dinobatkan sebagai pemenang anugerah Kelab Terbaik Piala AFC Sepanjang Dekad.
Berdasarkan peratusan undian di laman web rasmi Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Harimau Selatan jauh mendahului empat pencabar lain selepas mendapat 83 peratus undian setakat jam 5 petang tadi.
Pencabar terdekat JDT, Air Force Club dari Iraq hanya mendapat 13 peratus undi daripada 48,719 undian yang sudah dibuat.
Kelab Kuwait, Qadsia SC di kedudukan ketiga dengan dua peratus undi dan satu lagi wakil negara itu, Kuwait SC berkongsi satu peratus undian bersama Al Ahed dari Lubnan.
JDT membuat penampilan pertama yang cukup mengagumkan dalam saingan Piala AFC edisi 2015 apabila menjulang trofi itu, selain menjadi satu-satunya pasukan dari Asia Timur dicalonkan.
Malah, JDT menjadi satu-satunya pasukan dari Malaysia yang berjaya melangkah ke separuh akhir dan kelab Asia Tenggara yang pertama muncul pada perlawanan akhir, sekali gus berjaya memenangi trofi berprestij itu.
Peminat berpeluang menentukan pemenang anugerah itu dengan membuat undian di laman sesawang rasmi AFC.
Proses undian boleh dibuat hingga Ahad ini.
Ulasan
Catat Ulasan