Jersi milik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah antara yang paling mencuri tumpuan setiap kali ianya dilancarkan.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, pelancaran jersi JDT turut disertakan dengan video pengenalan. Video pelancaran jersi JDT kebiasaannya menampilkan penceritaan di sebalik pembikinan.
Malah video pelancaran jersi milik juara Liga Super Malaysia (MSL) enam kali berturut-turut itu turut pernah menampilkan nama-nama besar bola sepak dunia seperti Luis Figo dan juga Robert Pires.
Musim ini video pelancaran jersi tampil sedikit berbeza. Kali ini ia dibintangi oleh barisan pemain skuad Harimau Selatan sendiri.
Antara pemain yang membintangi video tersebut adalah Corbin Ong, Liridon Krasniqi, Safawi Rasid, Afiq Fazail, dan Mauricio Dos Santos.
Sejak babak pertama video, ia memaparkan lokasi penggambaran yang dilakukan di Arizona, Amerika Syarikat.
Latar belakang penggambaran berlatarbelakangkan Arizona, Amerika Syarikat adalah simbolik kepada rekaan baharu jersi JDT yang direka oleh syarikat Amerika Syarikat tersebut.
Selain daripada itu, ia turut memberi gambaran bagaimana JDT dan skuad Harimau Selatan kini telah membangun sebagai sebuah produk antarabangsa, jauh melangkaui pasaran domestik.
Turut menjadi tanda tanya ialah penampilan seorang wanita sebagai pelawat di dalam video tersebut. Di dalam video tersebut, wanita berpakaian hitam itu seolah-olah cuba mencuri tumpuan pemain JDT sebelum ingin berlalu pergi.
Bagaimanapun, Corbin Ong berjaya mengekalkan wanita tersebut selepas menayangkan logo JDT.
Babak ini sebenarnya mempunyai pengertian tersendiri. Kehadiran pelawat wanita tersebut yang seperti tertarik dengan logo JDT diibaratkan sebagai satu pengiktirafan untuk kelab sebagai satu jenama.
Secara harfiah ia menjelaskan bagaimana JDT kini telah menjadi sebuah entiti yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan kini lebih besar dari mana-mana individu.
Ia juga memberi maksud akan kemampuan JDT untuk menarik perhatian sesiapa dan di mana sahaja secara global.
Untuk pelancaran pada kali ini, JDt melancarkan dua jersi – masing-masing untuk kegunaan di tempat sendiri dan tempat lawan.
Merah dan biru adalah warna rasmi yang digunakan untuk perlawanan di laman sendiri, dan menggambarkan warna rasmi negeri Johor.
Untuk jersi kedua yang akan digunakan dalam perlawanan di tempat lawan, warna putih menjadi pilihan, dengan warna emas di bahagian kolar dan lengan menjadikan jersi ini kelihatan amat elegan.
Ulasan
Catat Ulasan