BERBAKI dua minggu sebelum saingan Liga Super membuka tirainya, skuad Pahang menerima tamparan apabila kehilangan pemain pertahanan, Matthew Davies.
Menurut sumber, pemain kelahiran Australia itu sah tidak lagi bersama skuad Tok Gajah bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
“Segala yang ditularkan di laman sosial berkaitan Davies meninggalkan Pahang adalah benar dan skuad itu amat terasa kehilangannya.
“Segalanya berlaku terlalu pantas dan Davies yang menyertai Pahang pada 2015 tidak lagi bersama Pahang apabila saingan Liga Super bermula nanti.
“Sudah pasti posisi pertahanan kanan memberi kesan terhadap pembentukan pasukan tetapi ia diharap dapat diatasi sebelum liga bermula,” katanya.
Sebelum itu tular Davies yang juga pemain Harimau Malaya bakal meninggalkan skuad Tok Gajah dan kini dikaitkan menyertai skuad Johor Darul Ta'zim (JDT).
Sejak menyertai Pahang pada 2015, Davies yang juga kapten pasukan bermula pada 2016, pernah membantu Pahang muncul juara Piala FA 2018.
Prestasi mantap yang dipersembahkan pemain berumur 25 tahun itu menyaksikan khidmatnya ditagih skuad bawah 23 tahun negara dan Harimau Malaya.
Namun, ketiadaan Davies yang pernah beraksi bermain dengan Perth Glory dari Australia itu memberi tamparan buat skuad kendalian Dollah Salleh ketika saingan Liga Super hanya berbaki dua minggu lagi.
Ini kerana Pahang belum lagi mengumumkan secara rasmi senarai pemain skuad Tok Gajah bagi mengharungi saingan Liga M musim ini.
Ulasan
Catat Ulasan