Matt Davies Bakal Tinggalkan Pahang Dalam Masa Terdekat?

MFL
Tidak pastinya bagaimana ianya bermula, tidak pasti di mana ianya bermula. Tetapi ianya sudah kian tersebar meluas mengenai khabar angin perpindahan Matt Davies.
Pertahanan kanan skuad kebangsaan itu sekian lama telah dikaitkan dengan juara enam kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT), namun ianya tidak pernah direalisasikan.
Kini, adakah perpindahan pemain yang baharu sahaja menginjak ke usia 25 tahun itu ke JDT bakal direalisasikan dengan sepak mula Liga Malaysia hanya berbaki 15 hari sahaja lagi?
Sejak semalam tersebar khabar angin mengenai perpindahan seorang pertahanan kental dari pasukan di Pantai Timur yang akan berhijrah ke pasukan jiran dalam masa terdekat.
Dan pagi ini, menerusi laman sesawang Gawang, telah didedahkan yang pemain tersebut adalah Matt Davies, yang pernah mendedahkan akan berhijrah pada musim 2021.
Menjadi kapten Pahang sejak 2016, Matt Davies pernah mendedahkan kepada sebuah media Australia bahawa musim 2020 adalah musim terakhirnya bersama Pahang.



Menurut laporan The World Game ketika itu, Matt Davies menyatakan mahu melangkah lebih jauh, mungkin mencuba nasib di Thailand, Jepun dan mungkin Korea Selatan.
Turut dimaklumkan adalah kontraknya bersama Tok Gajah adalah sehingga penghujung musim 2020 dan adakah JDT akan menebus kontrak pemain tersebut?
Ada yang mengaitkan kekalahan 1-5 kepada Vissel Kobe telah menjadikan perpindahan ini realiti dengan JDT turut dilihat membantu Pahang dengan meminjamkan dua pemainnya, Fazly Mazlan dan S. Kumaahran untuk membantu kedudukan kewangan Pahang.
Namun, biarpun S. Kunanlan gagal beraksi baik dalam perlawanan pertama Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2020 itu, pendaftaran pemain sudah tidak dibenarkan, jika Matt Davies adalah untuk membaiki posisi itu. Tetapi, jendela perpindahan Liga Malaysia masih berlangsung.
Adakah Matt Davies masuk untuk bermain di saingan Liga Malaysia terlebih dahulu sebelum jendela pendaftaran ACL dibuka semula? Dan, jika benar, S. Kunanlan akan boleh memberi fokus kepada tugasan di peringkat Asia sahaja sebelum digantikan olehnya nanti.
Buat masa ini, belum ada pengumuman rasmi mengenai perkara ini daripada kedua-dua pasukan, tambah-tambah lagi dari pasukan Pahang yang telah lama menyepikan diri.
KREDIT FOTO: MFL

Ulasan