SETIAUSAHA Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Asmirul Anuar Aris. - Foto Amran Hamid
ALOR SETAR: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) masih menantikan jawapan bagi permohonan kuota 1,000 keping tiket bagi menyaksikan perlawanan Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim pada 28 Februari ini.
Penantian berkenaan meresahkan penyokong Kedah yang berhasrat menyaksikan aksi bersejarah perasmian stadium baharu dan perlawanan antara dua gergasi bola sepak tempatan itu susulan khabar angin mengatakan hanya 500 tiket akan diberikan kepada Kedah.
Menurut kenyataan Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Asmirul Anuar Aris dalam dalam media sosialnya semalam, pihaknya dihujani pelbagai panggilan serta surat permohonan oleh penyokong Kedah bagi mendapatkan kuota tiket menyaksikan perlawanan itu.
"Ramai yang teruja untuk turun ke gelanggang lawan bagi menyaksikan sendiri serta memberikan sokongan kepada pasukan Kedah, apatah lagi lawan bakal menggunakan stadium baru dibina.
"Namun apakan daya kami, sehingga kini Kedah FA masih lagi menanti maklum balas surat kami hantar kepada Johor Darul Ta'zim FC manakala salinannya kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL). Kedah FA hanya memohon 1,000 keping tiket buat penyokong Kedah.
"Pelbagai khabar angin mula bertiup kencang kononnya peminat hanya dibekalkan 500 keping tiket dan stadium baru sebesar itu hanya boleh dikunjungi 500 penyokong Kedah, tentulah terlalu jauh kesannya terhadap sokongan pasukan bertandang,” katanya.
Asmirul pada masa yang sama menolak tanggapan negatif berkenaan sambil menganggap ia sekadar khabar angin selagi belum diputuskan secara rasmi oleh JDT.
"Saya tolak tanggapan negatif itu sejauh-jauhnya dan meyakinkan diri bahawa wujudnya semangat berpasukan tinggi atau 'High Sports Spirit'' antara kedua-dua pasukan dan tentulah tidak ada masalah di pihak JDT.
"Saya lontarkan catatan ini untuk menutup kebimbangan penyokong kami agar segera menyakinkan tentu ada ruang yang lebih besar pada penyokong Kedah berkunjung ke Johor,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan