Kedah, Selangor, TFC pencabar JDT


Bekas penjaga gol kebangsaan, Syed Adney Syed Hussein. - Foto Ihsan FB Syed Adney



KUALA LUMPUR: Bekas penjaga gol kebangsaan, Syed Adney Syed Hussein menamakan tiga pasukan - Kedah, Selangor dan Terengganu FC (TFC) - sebagai pasukan yang mampu mencabar juara bertahan Liga Super enam kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Justeru, dia yang juga penganalisis bola sepak menjangkakan saingan lebih sengit bakal diterima semua pasukan dalam Liga Super musim ini terutama JDT yang sudah pasti mahu mengekalkan status juara buat kali ketujuh berturut-turut.
Katanya, penambahan ramai pemain berkualiti dalam ketiga-tiga pasukan itu menjadikan mereka lebih seimbang dalam setiap bahagian selain jurulatih mempunyai banyak pilihan bagi mengharungi saingan musim ini.
“Terengganu melakukan persiapan lebih awal di luar negara sementara Kedah bermain dengan baik di pusingan kelayakan Liga Juara-juara AFC walaupun tewas kepada kelab Korea (FC Seoul).
“Corak permainan mereka lebih tersusun di bawah kendalian Aidil Sharin Sahak dan saya fikir kualiti yang Kedah ada begitu baik dengan kehadiran pemain baharu. Begitu juga Selangor yang mengikat beberapa pemain bintang.
“Perkembangan amat positif daripada ketiga-tiga pasukan ini dan kita mahu aksi liga yang lebih kompetitif membabitkan semua pasukan dalam merebut kejuaraan,” katanya.
Saingan Liga Malaysia musim ini akan membuka tirai pada 28 Februari bagi aksi Piala Sumbangsih antara juara Liga Super, JDT dan juara Piala FA, Kedah di Stadium Sultan Ibrahim.

Ulasan