Gambar fail, Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar Aris. - Foto BERNAMA
ALOR SETAR: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) masih berharap Johor Darul Ta’zim (JDT) mempertimbangkan tambahan 500 lagi tiket untuk membolehkan penyokong Lang Merah menyaksikan aksi Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim, Jumaat ini.
Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar Aris berkata, pihaknya sudah mendapat maklum balas daripada JDT yang hanya menyediakan 500 tiket sahaja berdasarkan kuota yang ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
"Kami masih mengharap, saya cuma kesiankan penyokong Kedah yang sangat berharap untuk berkunjung ke stadium baharu JDT di mana kalau diikutkan permintaan sebenar kita perlukan 2,000 tiket tapi jika dapat kuota 1,000 tiket (tambahan 500) pun kita tetap bersyukur.
"Impian penyokong Kedah adalah untuk melihat sendiri kehebatan Stadium Sultan Ibrahim yang baru dirasmikan dengan gilang-gemilang semalam dan di samping itu wujud semangat kesukanan yang sangat tinggi dalam kalangan penyokong Kedah.
"Selain teruja, kami juga ingin bersama-sama penyokong JDT untuk memeriahkan lagi stadium bertaraf dunia ini dalam perlawanan pembukaan terhebat Liga Malaysia musim ini di mana kedua-dua pasukan yang sama-sama membawa nama Malaysia dalam kejuaraan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini.
Jadi biarlah sama-sama secara beramai-ramai menghangatkan suasana bola sepak di negara kita." katanya.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ghani Ab Hassan berkata berdasarkan peraturan pembahagian tiket, Kedah hanya boleh mendapat 500 tiket untuk menyaksikan perlawanan pembuka tirai Liga Super itu.
Ini kerana berdasarkan pembahagian tiket, stadium yang berkapasiti 20,000 hingga 40,000, tuan rumah dibenarkan sediakan tiket kepada pasukan pelawat maksimum 500 tiket dan kapasiti stadium baharu JDT adalah 35,000 sekali gus Kedah hanya layak dapat 500 tiket.
Ulasan
Catat Ulasan