ALOR SETAR: Faktor penyudah menjadi halangan untuk Kedah mencipta rekod positif apabila tewas mengejut 1-2 kepada Kuala Lumpur dalam perlawanan persahabatan di Stadium Darul Aman, malam tadi.
Ketiadaan penyerang utama Kpah Sherman dan kapten Baddrol Bakhtiar yang dilanda kecederaan tampak menyukarkan percaturan skuad Lang Merah terutama dalam gerakan mencari gol meskipun dapat mendominasi keseluruhan perlawanan.
Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata, ketiadaan penyerang simpanan memberi kekurangan buat skuadnya terutama apabila Sherman cedera di saat akhir dan ia perlu diberi perhatian.
"Pada perlawanan ini kita membuat beberapa percubaan kombinasi berbeza seperti meletakkan Farhan Roslan bergandingan dengan Kipre Tchetche dalam menggerakkan serangan dan di bahagian bawah pula Irfan Zakaria beraksi bersama Shakir Hamzah sementara Fadzrul Danel bersama Amin Nazari.
"Kita mencuba beberapa kombinasi berbeza dari perlawanan yang lalu kerana perlawanan pramusim bukanlah mengenai kemenangan semata-mata.
"Memang kemenangan penting namun kita juga perlu mencuba beberapa kombinasi lain apabila pemain utama mengalami penggantungan atau mengalami kecederaan, kita perlukan pengganti yang dapat menggalas tugas dengan lebih bersedia,” katanya.
Menurut Aidil lagi, meskipun tewas, keputusan yang diperoleh memberi pengajaran yang positif buat skuadnya dalam persiapan menjelang perlawanan pembukaan Liga Malaysia pada 28 Februari ini.
"Apa yang penting adalah kita dapat mempelajari sesuatu yang positif di mana dua gol lawan berpunca daripada kesilapan kita sendiri."
"Namun di sebalik kekurangan itu, kita dapat melihat gerakan hantaran yang baik ketika membuat serangan dan bukan seperti hantaran 'long ball' dan saya berharap pemain terus fokus dan mempersiapkan diri untuk perlawanan pertama menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) nanti." katanya.
Pada perlawanan itu, skuad kendalian Aidil Sharin terlebih dahulu dikejutkan melalui jaringan Zhafri Yahya pada minit ke-32 selepas beberapa percubaan bahaya daripada Tchetche di awal perlawanan gagal menghasilkan gol buat Kedah.
Skuad kendalian Nidzam Adzha sekali lagi berjaya membolosi benteng Kedah melalui gerakan Francis Kone pada minit ke-61, sebelum Kedah merapatkan jurang gol di hujung perlawanan hasil tandukan Tchetche.
Ulasan
Catat Ulasan