Jersi baharu sinonim misi RM1 bilion





KETIADAAN nama penaja di bahagian hadapan jersi baharu Johor Darul Ta’zim (JDT) menimbulkan tanda tanya penyokong kelab bola sepak dari selatan tanah air itu yang melihat seolah tiada penajaan daripada pihak tertentu untuk musim 2020.
Namun, perkara terbabit sebenarnya bukan gimik sebaliknya menerusi kenyataan di Facebook rasmi kelab, JOHOR Southern Tigers menjelaskan ia adalah sinonim dengan misi JDT mencapai nilai komersial RM1 bilion mereka.
“Ketiadaan nama penaja pada bahagian hadapan jersi sinonim dengan misi RM1 bilion dalam menggambarkan bahawa kelab mampu untuk berdiri sendiri melalui ‘commercial value’ (nilai komersial) JDT.


“Adanya penaja adalah satu bonus. Warna merah biru di jersi ‘home’ melambangkan negeri Johor. Warna Putih di jersi ‘away’ melambangkan stadium baharu manakala warna emas simbolik pada kejayaan JDT,” jelas kelab itu yang menjawab komen netizen di Facebook mereka.
Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini menyasarkan nilai kelab berkenaan akan mencecah RM 1 bilion dalam tempoh dua tahun.
JDT melancarkan jersi baharu mereka yang akan digunakan untuk saingan musim ini di Dataran Bandaraya Johor Bahru, semalam.

Ulasan