- Dapatkan pautan
- X
- E-mel
- Apl Lain
JDT Langkah Kanan Di Laman Baharu
Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan kancah 2020 dengan nota kemenangan selepas berjaya menundukkan Kedah 1-0 sekaligus menjuarai CIMB Piala Sumbangsih 2020 yang berlangsung di ‘laman baharu’, Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi
Kemenangan yang turut menyaksikan JDT meraih tiga mata penuh dalam saingan CIMB Liga Super Malaysia itu bagaimanapun tidak hadir dengan mudah terutamanya pada babak pertama setelah Kedah menjelmakan tekanan hebat buat skuad bimbingan Benjamin Mora tersebut.
Jentera tengah Kedah yang dikepalai Mohamad Amirul Hisyam Awang Kechik dan Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam nyata memberikan masalah buat JDT untuk mempamerkan corak permainan seperti kebiasaan diamalkan skuad Harimau Selatan itu.
Kesempatan itu digunakan oleh para pemain Kedah yang lebih mengasak ke kubu tuan rumah. Peluang pertama skuad Lang Merah hadir pada minit kesembilan selepas Muhamad Hadin Azman mendapat lorongan cantik daripada Kpah Sherman. Sentuhan Hadin yang tidak dikawal pertahanan JDT dalam kawasan penalti bagaimanapun gagal menemui sasaran.
Berselang dua minit kemudian, Hadin sekali lagi memperolehi peluang untuk mencipta jaringan namun rembatan padunya dari luar kawasan penalti berjaya ditangkap kemas penjaga gol JDT, Mohd Farizal Marlias.
Ketika Hariss Harun dan rakan sepasukannya masih lagi tercari-cari rentak permainan mereka, Kedah terus bernafsu memburu jaringan tetapi kegagalan menyudahkan peluang terus menghampakan usaha anak buah Aidil Sharin Sahak itu.
Setelah lebih setengah jam aksi tanpa sebarang percubaan, Gonzalo Cabrera melepaskan satu rembatan dalam kawasan penalti yang dinafikan Ifwat Akmal Chek Kassim pada minit ke-36.
Penyokong JDT akhirnya melonjak kegembiraan pada minit ke-45 apabila pertahanan tengah, Mauricio Dos Santos Nascimento menanduk masuk bola hasil hantaran lintang cantik dilakukan Cabrera.
Memasuki separuh masa kedua, JDT kelihatan sudah mula mempamerkan corak permainan yang sedikit berbeza berbading aksi di 45 minit pertama dan hampir menambah jaringan kedua di minit ke-53 menerusi Safawi Rasid.
Pemain paling bernilai Liga Malaysia musim lalu itu melakukan gerakan solo ke dalam kawasan penalti lawan tetapi kuisan terakhirnya hanya sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol Kedah.
Kedah yang sesekali melancarkan serangan bagi menyamakan kedudukan turut mendapat dua peluang menerusi situasi bola mati. Bagaimanapun rembatan jarak jauh hasil sepakan percuma berjaya ditangkap kemas Farizal Marlias manakala tandukan Renan Alves tersasar.
Kedudukan 1-0 itu kekal hingga tamat permainan untuk JDT muncul juara CIMB Piala Sumbangsih buat tahun ketiga berturut-turut.
Dengan saingan CIMB Liga Super 2020 yang sudah membuka tirainya, peminat bola sepak tanah air yang tidak berkesempatan ke stadium pasukan kesayangan masing-masing, anda boleh menyaksikan aksi-aksi menarik bola sepak tempatan di UnifiTV.
Kredit foto: JOHOR Southern Tigers
Ulasan
Catat Ulasan